Ia menjadi isu yang hangat dalam
masa yang singkat. Ramai yang mengkritik USM berhubung kemasukan aktivis Syiah,
Khalid Ismath ke Universiti APEX ini yang mengambil Pengajian Jarak Jauh dalam
bidang Sains Politik.
SB sendiri tidak berpuas hati
dengan kemurahan hati pihak USM menawarkan tempat kepada budak ini walaupun
hanya menerusi program PJJ dan bukannya sepenuh masa seperti yang disangkakan
oleh banyak pihak. Namun, dalam hal ini, ia harus dilihat dari sudut teknikal termasuk
aspek perundangan yang membenarkan Khalid Ismath membuat permohonan tersebut.
Kita tinggalkan kemelut tersebut
buat sementara. SB yakin pihak pengurusan USM mempunyai mekanisme sendiri dalam
hal ini dan boleh mengawal pengaruh Syiah serta sikap biadap Khalid Ismath ini
kelak.
Apa yang menarik perhatian SB
ialah dua keping gambar yang memaparkan Khalid Ismath mengadap Timbalan
Presiden PAS, Mat Sabu sebaik tiba di Pulau Pinang bersama sekumpulan penyokong
sosialis termasuk Komrad Haizal yang sebelum ini pernah beberapa kali
mencetuskan isu berkaitan bendera kebangsaan. Rujuk SINI.
![]() |
Khalid Ismath disambut oleh Mat Sabu sebaik tiba di Pulau Pinang bersama kumpulan penyokong sosialis Malaysia. Lokasi : Restoran Sri Bawal, Pajak Song, Pulau Pinang. |
Menurut info yang diterima,
pertemuan tersebut bukanlah pertemuan biasa-biasa. Jika perkara ini benar, maka
sewajarnyalah USM memberikan perhatian yang lebih kepada isu Khalid Ismath menyambung
pengajian di USM. Tujuan dia ambil PJJ juga perlu diteliti. Melalui program
ini, Khalid Ismath mempunyai banyak masa terluang untuk menjalankan
aktivitinya.
Sebelum ini juga ada desas-desus
kuat mengatakan parti-parti pembangkang cuba menguasai politi kampus di USM
namun gagal kerana proksi mereka seperti Persatuan Mahasiswa Islam (PMI),
Student Progressive Front (SPF), Kumpulan Cap Ayam, Majlis Mahasiswa Bertindak
(MMB) dan sebagainya sering tewas dalam setiap pilihan raya kampus yang
diadakan.
USM menjadi target utama dan juga
beban besar kepada pembangkang kerana ia berada di dalam negeri di bawah
pemerintahan DAP tetapi sehingga kini mereka belum berjaya menawan kampus ini
secara mutlak.
Beberapa siri cubaan membawa
masuk pengaruh politik luar yang pro-pembangkang juga sering gagal, malah
dipatahkan lebih awal. Ia termasuklah cubaan menganjurkan siri demonstrasi
tertentu di luar pagar USM, membawa masuk aktivis sosialis mahasiswa seperti
Adam Adli dan Bawani dan banyak lagi. Hal ini menceritakan betapa sukarnya bagi
pembangkang menembus masuk ke dalam USM seperti yang dilakukan oleh mereka di
Lembah Klang.
Justeru dengan kehadiran Khalid
Ismath ini, ia menjadi harapan baru kepada pembangkang dalam merealisasikan usaha
terdesak mereka itu . SB tidak pasti adakah perkara ini menjadi perhatian pihak
USM setelah pelbagai maklumat diberikan. Namun yang jelas, Khalid Ismath datang
bersama pengaruh dan agenda yang besar dan ia menuntut perhatian yang
sewajarnya oleh USM.
Sementara itu, maklumat yang
diterima sehingga lewat petang semalam, Khalid Ismath masih belum mendaftarkan
diri di USM. Justeru statusnya sebagai pelajar masih belum disahkan walaupun
rekod dalam senarai kemasukan jelas memaparkan namanya sebagai calon pelajar
PJJ di universiti ini.