KUALA LUMPUR 9 Jun - Langkah kerajaan untuk menurunkan harga kereta
secara berperingkat sebagai memenuhi aku janji dalam Pilihan Raya Umum Ke-13
mula menampakkan hasilnya apabila 10 buah model kereta telah mencatatkan
penurunan.
Bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, beberapa model kereta daripada
jenama Peugeot, Proton, Perodua, Volkswagen dan Honda masing-masing telah
menyaksikan penurunan harga untuk fasa pertama.
Petanda awal positif ini jelas menunjukkan hasrat kerajaan menurunkan
harga kereta sebanyak 20 hingga 30 peratus secara berperingkat sehingga 2017
bukan satu omongan kosong seperti yang digembar-gemburkan oleh sesetengah
pihak.
Sepuluh model yang telah menurunkan tanda harganya di pasaran setakat
ini ialah Peugeot 308 (11 peratus), Volkswagen Golf (7.1%), Viva (5.4%), Myvi
(4%), Persona (3.8%), Alza (3.4%), Preve (3%), Honda Jazz Hibrid (2.5%), Saga
(1.1%) dan Exora (0.7%).
Pelan penurunan harga itu dilaksanakan dengan memberikan pengurangan
duti eksais secara berperingkat terhadap pengeluar kereta yang menggunakan
lebih banyak komponen tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Automotif Malaysia (MAI), Mohamad
Madani Sahari berkata, cara itu adalah lebih baik daripada memberikan
pengurangan duti eksais sekali gus atau secara mendadak.
Katanya, walaupun duti eksais sekarang berada di tahap sekitar 65 hingga
105 peratus, tetapi pada hakikatnya, jumlah duti eksais yang dibayar oleh
pengeluar kenderaan pemasangan tempatan (CKD) hanyalah sekitar 40 hingga 50
peratus.
Menurutnya, pengeluar kenderaan CKD telah membuat aktiviti tambah nilai
kepada komponen tempatan dan mereka layak mendapat pengurangan duti.
"Bagi kenderaan jenis diimport sepenuhnya (CBU) dari negara yang
mempunyai FTA dengan Malaysia, import duti juga telah dikurangkan.
"Sebagai contoh kenderaan CBU dari negara-negara ASEAN telah pun
menikmati insentif bebas duti import bermula 2010 lagi, manakala CBU dari Jepun
dan Australia juga menikmati insentif sama secara berperingkat hingga
2016," katanya kepada Utusan Malaysia.
Madani berkata, kaedah pengurangan lain yang dirancang kerajaan adalah
melalui liberalisasi industri automotif tempatan dan kaedah tekanan pasaran.
"Dari semasa ke semasa, pengeluar kenderaan, vendor bersama dengan
kerajaan akan membuat inisiatif untuk memperkasakan daya saing sektor automotif
untuk membantu mengurangkan kos operasi, sekali gus mempengaruhi harga akhir
produk," jelasnya.
Beliau berkata, penurunan harga kereta di negara ini telah dilakukan
tetapi kurang dirasai rakyat kerana mereka mengharapkan penurunan yang drastik
dan mungkin beranggapan harga kereta tempatan boleh menjadi setara dengan harga
di Thailand.
Katanya, kerajaan telah menerangkan bahawa penurunan harga kereta
mestilah dibuat secara berjadual dalam masa lima tahun kerana perlu melindungi
nasib rakyat yang telah memiliki kereta.
"Ini penting, penurunan terlalu tinggi memberi impak negatif
terhadap harga kenderaan terpakai, kereta yang masih lagi berhutang dengan
pihak bank, industri kereta terpakai, institusi perbankan dan pihak lain yang
terlibat secara langsung.
"Penurunan secara drastik juga akan merugikan semua orang
terutamanya orang awam yang telah mempunyai kenderaan dan mereka akan mendapat
tamparan hebat kerana harga kenderaan mereka akan mengalami penyusutan harga
yang teruk.
"Bagi pengguna yang masih berhutang dengan bank, sudah semestinya
jumlah hutang mereka akan melebihi nilai kereta disebabkan susut nilai pasaran
semasa. Situasi ini tidak baik untuk ekonomi negara," jelasnya.
Ditanya, apakah faktor yang menyebabkan rakyat tidak merasai penurunan
harga kereta, beliau menjelaskan setiap pengeluar kenderaan mempunyai strategi
pemasaran yang berasingan.
"Pada permulaannya, kebanyakan pengeluar membuat penurunan melalui
rebat dan promosi tetapi setengah pengeluar telah mengurangkan harga kereta
secara mutlak.
"Harga kereta dan penurunannya adalah tanggungjawab pengeluar
kenderaan," tegasnya sambil menerangkan peranan kerajaan adalah merangka
dasar yang memberi pulangan yang baik kepada semua pihak.
Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130610/dn_04/10-model-kereta-turun-harga#ixzz2Vlbykg3d
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment