Di sebalik isu Timbalan Menteri
Pelajaran II, YB P. Kamalanathan ditumbuk oleh Setiausa Pemuda UMNO Bahagian
Hulu Selangor, sebenarnya ada perkara yang lebih penting untuk ditelitikan oleh
pihak kementerian beliau.
P. Kamalanathan tidak akan
ditumbuk jika isu asasnya tidak berlaku. Masalah guru memohon pertukaran bukan
isu baharu. Dalam kalangan guru masalah ini ibarat rantai besi yang menjerut
leher mereka khususnya dalam kalangan guru yang berhajat memohon pertukaran.
Bagi mereka yang mempunyai kabel
atau orang dalam, proses pertukaran mungkin lebih mudah. Untung nasib, akan
diproses segera. Namun bagi guru yang tak kenal siapa-siapa pun yang berkuasa
di dalam kementerian, pasti terpaksa menunggu empat lima tahun sebelum
permohonan diproses.
Pihak kementerian tidak boleh
lagi menggunakan alasan tiada tempat atau opsyen tidak kena apabila berhadapan guru-guru
ini. Kementerian sepatutnya menyelesaikan masalah tersebut dengan melakukan
rombakan secara besar-besaran, bukannya membiarkan ia berlarutan dari tahun ke
tahun.
Guru-guru memerlukan motivasi
yang tinggi dan konsisten untuk terus berbakti. Secara psikologi, guru yang
berkahwin tetapi terpaksa duduk berjauhan dengan pasangan masing-masing pasti akan
mengalami kemerosotan motivasi dan emosi. Tanyalah guru-guru yang terlibat.
Mereka tidak memohon pertukaran kerana suka-suka tetapi lebih memikirkan hal
keluarga masing-masing.
Sampai bila isu dan masalah ini
hendak dibiarkan? Menteri sepatutnya lebih cergas menyelesaikan permohonan
pertukaran para guru dengan memberikan fokus yang sewajarnya.
Jangan nanti lebih banyak
penumbuk hinggap di muka menteri baru nak bertindak.
No comments:
Post a Comment