| 09 Julai 2015 1:20 AM | Utusan Malaysia
PENULIS tertarik dengan status laman sosial pakar
Proto-Sejarah/ Sejarah Asia Tenggara Universiti Sains Malaysia (USM) Dr.
Nazarudin Zainun (gambar) baru-baru ini yang mencatatkan: “Tidak perlu membunuh
keseluruhan induk sesebuah parti atau bangsa jika mahu parti atau bangsa itu
dihapuskan.
Cukup sekadar menghapuskan sejarah sumbangan parti
atau bangsa itu, putar belit sumbangan dan sejarahnya, tokok tambah segala
tindakannya agar kelihatan sedikit radikal, ekstrem dan nampak bodoh sehingga
dibenci oleh anak mudanya yang enggan berfikir, sembunyikan sebab-sebab sesuatu
tindakan yang diambil oleh pucuk pimpinan parti atau bangsa itu. Pastikan
anak-anak muda bangsa yang menyokong parti itu bosan dengan sejarah dan
sumbangan parti itu yang dianggap kolot dan konvensional. Maka lengkaplah
pusingan pertama penjajahan era baharu.”
Kata Nazarudin lagi, langkah kedua ialah dengan
memastikan fikiran mereka diserap dengan budaya-budaya lain selain daripada
budaya bangsanya. Lakukan dengan cermat hingga mereka memandang baik budaya
luar dan memandang jelik budaya sendiri. Tidak perlu menghormati pemimpin dan
persoalkan semua tindakan partinya, tonjolkan ketidakadilan walaupun dibenarkan
oleh undang-undang. Wujudkan rasa was-was hingga anak mudanya malu mengakui
sebangsa dengan pemimpinnya. Lagi baik jika segala sumbangan dan kebijaksanaan
parti atau bangsa itu dipersoalkan oleh bangsanya sendiri.
“Langkah ketiga ialah dengan mengimport kritikan
dan serangan dari luar yang mendedahkan kepincangan pemimpin parti atau negara
dengan apa jua dakwaan tidak kira betul atau salah. Nescaya bangsa yang anak
mudanya malas membaca akan terus menyokong segala tuduhan luar tanpa
mempersoalkannya dan membenci pemimpin mereka sendiri. Ketika itu lengkaplah
tugas mereka bagi meruntuhkan keagungan dan kehebatan sesebuah parti atau
sesuatu bangsa,” kata Nazarudin.
Ternyata pandangan sangat berasas dalam keadaan
sekarang. Serangan-serangan peribadi dan mencari segala yang jelik dan hodoh
ini, mendorong anak bangsa membenci bangsanya sendiri dan akur dengan segala
fitnah yang ditabur yang seolah-olah menjadi rutin harian kita sekarang.
Media sosial dan pemberitanya menyebarkan apa jua
perkara yang belum terbukti kesahihannya, penuh dramatik dan beremosi. Mesin
dan kilang pengeluaran fitnah dan khabar angin aktif menghasilkan cerita-cerita
baharu satu demi satu. Sebijak mana pun sesetengah dakwaan dipatahkan pada
akhirnya cerita dan skrip baharu digunakan pula untuk menyambung episod demi
episod. Tiada kesudahan sehinggalah akhirnya riwayat satu perjuangan menegakkan
maruah bangsa dipadamkan bersama segala citra kekuatannya sekian lama.
Tidak ada usaha yang tuntas dapat dilakukan kerana
masa begitu banyak dihabiskan untuk menghadapi segala cerita baharu sama ada
ditulis semula skripnya, dijalinkan dengan kekuatan emosi dan siri
penyiasatannya apatah lagi jika dilakukan oleh orang luar yang dianggap begitu
sahih walaupun sejarah membuktikan betapa banyak musang berbulu ayam dan
gunting dalam lipatan sepanjang sejarah tamadun dunia - dunia Islam mahu pun
dunia Barat dan Timur.
Menguruskan fitnah dan persepsi bukanlah mudah.
Apatah lagi jika strategi yang dibangunkan begitu teliti menggunakan setiap
ruang dan peluang dan ditangani pula dengan emosi dan jawapan-jawapan yang
menghiris perasaan rakyat. Sesetengah jawapan yang diberi tidak dibuat dengan
teliti, bersifat defensif yang memang diharapkan oleh si penulis skrip
cerekarama dan kadang-kadang lebih meloyakan daripada sesetengah cerita merapu
di layar perak.
Lihat sahaja apabila orang yang berjubah putih dan
bersyarah di dalam masjid pun melatah, bercakap tanpa fakta yang sahih. Dalam
media sosial misalnya klip video disebarkan memuat pandangan seseorang yang
bercakap tentang agama yang mengulas tentang keadaan semasa berkata: “Lihatlah
di Jambatan Pulau Pinang yang sekarang ini makin kurang keretanya sebaliknya
lebih ramai yang menunggang motosikal untuk jimat belanja kerana kos hidup yang
tinggi berbanding dengan masa lalu”.
Soalnya sejak bila pula Jambatan Pulau Pinang
kurang penunggang motosikalnya dan benarkah tidak ramai lagi pengguna
menggunakan kereta kerana kos hidup tinggi. Penulis yang saban hari menggunakan
Jambatan Pulau Pinang tidak pula melihat perbezaannya malah kesesakannya tidak
pernah berkurang pun dengan kereta, bas dan lori bertali arus pada waktu awal
pagi dan petang ketika datang dan balik dari kerja. Kecualilah pihak berkuasa
Jambatan Pulau Pinang mengeluarkan statistik baharu perbandingannya, maka
agaknya dakwaan seperti ini bolehlah dipertimbangkan.
Tentu sahaja semua kita merasai kesan ekonomi
sekarang ini. Tetapi setiap orang ada peranan yang boleh dimainkan dengan
mengelakkan pembaziran dan mengurangkan perbelanjaan terhadap barangan bukan
keperluan. Orang marah bila dikatakan kesesakan di pusat membeli-belah, bazar
Ramadan mahu pun restoran makanan segera serta restoran di hotel mewah masih
berlaku. Yang terjejas teruk tentunya kemewahan yang kita rasai sedang kita
masih mampu menikmati hidangan seadanya.
Ramai sekali yang cuba menjadi wira kepada orang
kampung yang dikatakan miskin dan terjejas teruk kehidupannya. Soalnya ialah
apa yang boleh kita lakukan untuk membantu dalam hal ini, adakah dengan cara
menabur fitnah, memburukkan orang lain dan menjatuhkan apa yang ada akan
menyelesaikan semua masalah yang ada?
Kalaulah setiap orang memainkan peranannya dengan
baik dan memberikan yang terbaik dalam apa yang dilakukannya dengan
mengurangkan tindakan menyalahkan orang lain, maka banyak yang boleh dilakukan
untuk semua orang seperti mana kita lihat penghakupayaan dalam menghadapi
musibah banjir tempoh hari, saling membantu dan menghulur bantuan tanpa mengira
perbezaan yang ada.
Hari ini semangat cinta dan sayangkan bangsa
nampaknya makin menipis, seolah-olah tidak ada apa yang boleh dibanggakan
dengan bangsa kita yang ada. Hakikatnya sejak abad ke-2 Sebelum Masihi, orang
Melayu di dunia telah menjadi satu bangsa dagang yang hebat dan besar hingga
negara China mengiktiraf sebagai dagang yang besar seperti yang dibuktikan oleh
rekod sejarah yang ada.
Hal ini didedahkan melalui kajian oleh pasukan yang
diketuai oleh Nazarudin tentang Kerajaan-kerajaan Melayu yang Hilang dengan
menggunakan bukti catatan rekod China mahu pun bukti arkeologi yang diperoleh
seperti yang terkandung dalam buku yang baharu diterbitkan – Perdagangan Dunia
Melayu-China Hingga Kuriun Ke-16 Masihi: Satu Tinjauan Sejarah dan Arkeologi
yang diterbitkan oleh Penerbit USM (2015).
Banyak lagi yang boleh diperkatakan tentang hal
ini, namun yang pasti, kita perlu hentikan segera usaha memperlekeh dan
meruntuhkan bangsa serta kepimpinannya dengan bersikap lebih bijaksana dan
rasional menggunakan bukti-bukti yang sahih tanpa prasangka keterlaluan akibat
kebencian yang ditanam oleh mereka yang sememangnya ingin melihat bangsa ini
berpecah-belah, musnah, jatuh dan runtuh selama-lamanya.
PENULIS ialah Pengarah Pusat Media dan Perhubungan Awam,
Universiti Sains Malaysia (USM).
No comments:
Post a Comment