Hasrat Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang mahu menubuhkan kelab penyokong di kampus-kampus IPTA seluruh negara nampaknya bakal berdepan jalan sukar. Awal-awal lagi cadangan tersebut ditentang oleh kepimpinan universiti seperti yang disiarkan dalam media semalam. Soalnya sekarang, adakah PPUM terutamanya Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin, sudah berbincang dengan pihak universiti sebelum membuat keputusan ini?
Prof. Adnan Hussein |
KUALA LUMPUR 27 Ogos - Penubuhan Kelab Penyokong UMNO di institusi pengajian tinggi (IPT) merupakan langkah kurang tepat kerana ia akan membawa fahaman politik kepartian ke dalam kampus.
Timbalan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Adnan Husseinberkata, ia bukan sahaja akan menjejaskan suasana seimbang di kampus malah, pada masa sama bertentangan dengan perkara asas dalam Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU).
"Berdasarkan pindaan AUKU, politik kepartian tidak boleh dibawa ke dalam kampus.
"Sekiranya kelab itu ditubuhkan, saya yakin lebih banyak perkara negatif akan timbul kerana ia seolah-olah memberi peluang kepada parti-parti politik lain untuk turut sama menjadikan kampus sebagai medan politik," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas rancangan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin untuk menubuhkan Kelab Penyokong UMNO di setiap IPT sebagai langkah proaktif mendampingi golongan penuntut sekali gus meraih sokongan mereka terhadap parti.
Sementara itu, Naib Canselor Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Zakaria Kasa berkata, cadangan penubuhan kelab tersebut perlu dikaji secara mendalam kerana ia dikhuatiri mengganggu proses pengajian mahasiswa.
"Paling dibimbangi, kehidupan dan tumpuan penuntut akan terganggu kerana agenda politik kelab itu yang lebih mengutamakan kepentingan masing-masing dan bukannya pembangunan mahasiswa.
"Apatah lagi jika wujud golongan yang taksub dan tidak boleh berfikir secara rasional dalam berpolitik, keadaan itu boleh memecahbelahkan mahasiswa selain mewujudkan suasana tidak harmoni," katanya.
Utusan.
Pihak Pemuda UMNO seharusnya mengambil maklum kebimbangan yang dikemukakan oleh kedua-dua tokoh dari USM dan UPSI ini.
Pindaan yang dibuat terhadap AUKU hanya membenarkan mahasiswa terlibat dengan politik tetapi itu tidak bermaksud parti-parti politik boleh mengambil kesempatan ke atas mahasiswa atau mempergunakan mahasiswa untuk kepentingan tertentu mereka.
Sila hormati zon intelektual kampus!
No comments:
Post a Comment