PEKAN 26 Ogos - Sambutan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini penuh dengan semangat 1Malaysia dan luar biasa apabila dihadiri lebih 100,000 rakyat daripada pelbagai kaum.
Najib Tun Razak beramah mesra dengan rakyat yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri di Pekan, Pahang, semalam. |
Rumah terbuka yang bermula pukul 10 pagi dan berakhir 2 petang itu menyaksikan orang ramai daripada pelbagai kaum saling beramah mesra, selain menikmati pelbagai juadah di lebih 200 gerai yang disediakan.
Turut berangkat ke majlis tersebut ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis; Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Ishak Muhammad.
Rumah terbuka itu menyaksikan Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor bersama pemimpin kerajaan negeri dan UMNO Bahagian Pekan turun padang untuk beramah mesra dengan rakyat pelbagai lapisan.
Sambutan luar biasa masyarakat termasuk dari luar Pahang itu menyaksikan orang ramai berpusu-pusu sejak pukul 9 pagi lagi untuk bertemu dengan pemimpin yang mereka sayangi itu walaupun majlis hanya dijadualkan bermula 10 pagi.
Malah sehingga pukul 2 petang, orang ramai masih terus memenuhi pekarangan Taman Tasik Sultan Abu Bakar, lokasi penganjuran rumah terbuka itu.
Keseluruhannya, lebih 160 usahawan tempatan terlibat menyediakan beberapa juadah istimewa seperti opor, laksa Pahang dan tidak terkecuali puding raja serta ikan patin masak tempoyak yang menjadi tumpuan orang ramai pada majlis itu.
Rumah terbuka itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis-artis tempatan seperti Awie Wings, Syed Sobri, DJ Dave, Hattan, Noraniza Idris dan Nasir Wahab manakala Linda Onn, Sharifah Shahira dan Lan Pet Pet bertindak sebagai pengacara majlis.
Pada majlis itu juga, Perdana Menteri bersama isteri turut menyampaikan sumbangan kepada 240 bakal jemaah haji dan memberi duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.
Dalam pada itu, Najib ketika berucap merakamkan terima kasih kepada semua pengunjung yang datang dari dekat dan jauh termasuk sejauh Tawau, Sabah ke rumah terbuka itu.
Sebagai umat Islam kita telah menjalani ibadah puasa dalam bulan Ramadan dengan niat untuk mendapatkan rahmat dari Allah dan jika kita telah tunaikan kewajipan kita dengan baik, maka Allah janjikan pahala dan fadilat yangg cukup besar bagi kita," katanya.
Menurut beliau, jika puasa merupakan ikatan kepada Allah, maka dalam bulan Syawal ini digalakkan untuk semua umat Islam menguatkan silaturahim, saling menghormati dan bermaafan.
Inilah istimewanya ajaran Islam. Sebagai khalifah di bumi ini kita perlu kuatkan silaturahim dan ukhuwah sesama kita barulah dapat jalankan peranan kita sebagai khalifah," katanya.
Najib dalam ucapannya juga menyifatkan rumah terbuka sepanjang Syawal yang diamalkan umat Islam di negara ini sebagai cukup istimewa.
Sebulan berpuasa, sebulan juga kita berhari raya. Rumah terbuka tak putus-putus sepanjang bulan Syawal. Ini satu keunikan di Malaysia dan yang untung selain peniaga adalah kita sendiri kerana dapat mengeratkan ukhuwah," ujarnya.
- utusan
No comments:
Post a Comment