Kebelakangan ini kita melihat satu fenomena yang begitu mengujakan apabila begitu ramai golongan artis berlumba-lumba memasuki arena politik kononnya sudah insaf dan ingin bertaubat dari kehidupan artis yang mereka dakwa penuh lagho dan melekakan. Baguslah kalau betul-betul dah insaf tambahan lagi dengan bulan keberkatan bulan Ramadan ini.
Dakwa mereka kononnya dengan menceburi bidang politik mereka telah menemui cahaya hidayah yang selama ini terlindung dengan hijab glamour dunia artis. Kalau dulu halal-haram, kahwin-cerai, dedah aurat dan pergaulan bebas menjadi darah daging mereka, kini setelah insaf dihina pula kelekaan mereka dahulunya kononnya kerana salah pihak penguasa yang tidak islamik. Hairan ya sendiri cipta skandal dan kontroversi, orang lain pula senang-senang nak dipersalahkan. Masa glamour tak ingat dunia, bila kena gam dan diboikot media lantaran maksiat, khalwat dan kerja jahat mereka, mulalah hidup terumbang ambing, menagih kerja sana sini, timbullah rasa keinsafan.
Tetapi malangnya keredhaan Allah yang dicari namun kefasikan yang ditemui. Inilah salahnya kalau memilih wasilah (jalan) yang salah. Sepatutnya setelah bertaubat iman akan menjadi lebih mantap, akidah semakin terpelihara dan paling utama terpelihara dari terjebak dengan dosa-dosa maki hamun dan menabur fitnah.
Namun apa nak buat, keceluparan dan kelancangan mulut inilah menjadi daya penarik segelintir pendengar kononnya makin celupar mulut si artis makin dekat dirinya dengan Allah dan dah terjamin pahala dan surga buat mereka. Ingatlah tiada gunanya bertudung litup, berjubah panjang dan berserban besar kalau pahala yang dicari dengan memaki hamun orang lain. Sabda Rasulullah s.a.w;
“Sesungguhnya Allah tidak melihat tubuh badan dan rupa paras kamu, tetapi dia melihat jantung hati (niat) kamu.” (Hadis riwayat Abu Hurairah r.a)
Bila kita kaji sirah Rasulullah s.a.w, terdapat ramai penyair yang memeluk Islam setelah mendengar alunan Al-Quran yang begitu indah di samping kagum dengan keperibadian umat dan ajaran Islam.
Antaranya Kaab bin Zuhair, Abu Zuaib al Huzali dan Hisan bin Tsabit. Namun yang paling masyur adalah Kaab bin Zuhair yang pernah dihalalkan darahnya kerana begitu lancang menghina Rasulullah melalui syair-syairnya. Beliau diampunkan setelah memeluk Islam, namun Baginda tidak mengutamakan golongan penyair ini meskipun menyedari golongan penghibur ini mempunyai pengaruh yang besar terhadap masyarakat jahiliyah ketika itu. Baginda mengutamakan jasa dan kerja para sahabat dan mujahid yang lebih lama berjuang meskipun ada di kalangan mereka yang tidak popular.
Berbeza dengan para artis yang datang kepada jemaah Islam yang sepatutnya mentarbiyah diri sendiri bukannya memandai-mandai mentarbiyah orang lain. Berapa tinggi sangat ilmu yang mereka ada. Kita mudah menjulang mereka sebagai ustaz, ustazah dan ulama berceramah sana sini seolah-olah mereka adalah pejuang Islam yang sebenar. Bertambah malang lagi, ada kalangan artis yang kononnya insaf ini membawa budaya Islam liberal baru bernyanyi dengan alunan gitar di dalam masjid dan surau seolah-olah kita bagai berada di dalam sebuah gereja…nauzubillah!
Kita mula lupakan alim ulama, ustaz-ustaz dan orang-orang kampung yang tidak mempunyai nama yang selama ini bermati-matian berjuang untuk Islam dan hanya menerima upah ala kadar hasil dari kutipan-kutipan derma yang dilakukan. Sebaliknya golongan artis yang menjadi ustaz, ustazah dan ulama segera ini bebas menuntut bayaran tinggi minimum RM2,500.00 setiap ceramah yang hanya mengisahkan kehidupan mereka yang terlampau! Mana nilai Islam dan ilmu dalam perjuangan kini. Pejuang-pejuang Islam dianggap sebagai sampah, sedangkan artis-artis segera ini dapat upah melimpah-ruah hanya untuk menabur finah membangkit amarah sambil-sambil menutup aib silam mereka yang penuh bersejarah!
Bila seorang artis wanita berseloroh nak cari jodoh ustaz, gegak gempita para ustaz tak lena tidur, terpesona memasang angan mendapatkannya walaupun terpaksa berpoligami. Terbukti telah ada beberapa artis yang datang kepada jemaah dengan berkopiah berserban akhirnya kembali kepada tabiat asalnya mencari glamour dan wang di atas pentas sambil-sambil memperaga diri mencari jodoh!
No comments:
Post a Comment