1. Semalam, SB menerima kiriman emel dari seorang kenalan di Negeri Sembilan yang meminta pandangan SB berkenaan 12 perkara yang digariskan dalam manifesto Pakatan Rakyat.
2. Bersama emel tersebut, beliau kepilkan sebuah poster berwarna hijau yang tertera gambar-gambar para pemimpin utama Pakatan Rakyat di sudut atas sebelah kiri. Melihat sahaja poster ini, SB sudah dapat agak, ini pasti dari versi PAS.
3. Sebelum SB ulas berkenaan manifesto tersebut dengan memberikan fokus terhadap PENDIDIKAN PERCUMA, SB ingin mengajak kita semua melihat bukti jelas dalam poster ini bahawa tiada kesepakatan dalam kalangan pimpinan Pakatan Rakyat sendiri untuk menampilkan siapa pemimpin utama mereka. Dalam poster ini jelas sekali yang ditonjolkan ialah spiritual leader PAS, Nik Aziz. Kenapa bukan Anwar Ibrahim yang katanya akan menjadi Perdana Menteri? Bagaimana pula dalam poster-poster yang diterbitkan oleh war room PKR dan DAP? Adakah Nik Aziz tetap akan ditonjolkan sebagai pemimpin paling kanan? Kita tinggalkan dulu persoalan tersebut.
4. Di bawah ini ialah kutipan fakta berkenaan Pendidikan Percuma. Kenapa kita mesti cakna? Ikuti kupasannya.
Apa Itu Pendidikan Percuma?
Menurut Frederick J. Mc Donald
dan M.J. Langeveld, pendidikan merupakan
suatu proses atau kegiatan yang diarahkan untuk mengubah kebiasaan (behaviour) manusia. Sebagai manusia, kita
dilahirkan tanpa apa-apa pun. Tiada satu kebiasaan pun pada kita. Maka semakin
seseorang itu membesar, disitulah letaknya tanggungjawab semua yang
disekeliling untuk mencorakkan peribadi dan mewujudkan kebiasaan pada diri
seseorang itu.
Dalam konteks pendidikan hari ini, benarkah wujud satu sistem
pendidikan yang percuma secara holistik bermula dari peringkat rendah hingga ke
peringkat tertinggi di mana-mana negara di dunia? Apakah yang dimaksudkan
dengan pendidikan percuma itu sendiri? Relevankah sistem ini?
Secara mudah, percuma
bermaksud tidak dikenakan apa-apa bayaran atau caj. Jika justifikasi ini
diambil kira, maka secara mudah juga kita akan bersetuju bahawa tidak ada satu
sistem pendidikan di mana-mana negara yang diberikan secara percuma.
Sebaliknya, pasti ada pihak yang mendanai sistem tersebut dari segenap sudut
dan perkara.
Definisi umum yang diberikan di peringkat global juga
menjelaskan bahawa pendidikan percuma
sebagai satu bentuk pendidikan yang disediakan atau dibiayai melalui hasil
percukaian negara, atau disokong (secara biasiswa) oleh organisasi tertentu
yang tidak berorientasikan keuntungan jangka pendek. Hal ini bermakna, ia tidaklah benar-benar percuma kerana kos tersebut ditanggung melalui sumber lain
oleh pihak tertentu seperti kerajaan atau organisasi yang terlibat secara langsung
menyediakan pendidikan tersebut.
Terdapat beberapa buah negara yang memberikan pendidikan
secara percuma di setiap peringkat kepada rakyatnya. Namun begitu, meskipun
negara-negara tersebut menyediakan pendidikan secara percuma, kadar cukai yang
dikenakan pula adalah tinggi hingga mencecah lebih 50% berbanding purata
pendapatan dalam negara.
Salah sebuah negara tersebut ialah Finland yang mengenakan
cukai hingga 49.2% iaitu kesembilan tertinggi di dunia. Hasil cukai inilah yang
sebenarnya menampung perbelanjaan pendidikan di negara tersebut seperti membayar
gaji para pensyarah, staff universiti, tukang sapu, pengawal keselamatan dan
pelbagai lagi.
Negara-negara Yang
Menyediakan Pendidikan Percuma
Berikut merupakan negara-negara yang menyediakan pendidikan
percuma di semua peringkat kepada rakyatnya:
- Brunei
- Argentina
- Finland
- Norway
- Jerman
10 Negara Dengan Cukai
Tertinggi
Berikut ialah senarai negara yang mengenakan cukai tertinggi
ke atas rakyatnya:
- Aruba (58.95%) / Purata pendapatan –
Tidak diperolehi
- Sweden (56.6%) / Purata pendapatan
- $48,800
- Denmark (55.4%) / Purata pendapatan -
$64,000
- Netherlands (52%) / Purata pendapatan
- $57,000
- Austria (50%) / Purata pendapatan -
$50,700
- Belgium (50%) / Purata pendapatan-
$52, 700
- Japan (50%) / Purata pendapatan -
$53,200
- United Kingdom (50%) / Purata
pendapatan - $52,320
- Finland (49.2%) / Purata
pendapatan - $49,000
- Ireland (48%) / Purata pendapatan -
$40,900
Adakah Malaysia
Menyediakan Pendidikan Secara Percuma?
Malaysia telah melaksanakan sistem pendidikan percuma secara
berperingkat baik di tahap primer (rendah) mahupun sekunder (menengah). Namun
begitu, atas faktor ekonomi, Malaysia masih belum mampu menyediakan pendidikan
tinggi atau tertiari secara percuma kepada rakyatnya kerana ia melibatkan kos
yang amat besar.
Sektor pendidikan tinggi atau tertiari ini dilihat sebagai
pelaburan individu terhadap negara. Tidak semua orang layak atau mampu
melanjutkan pelajaran ke peringkat ini. Atas sifat fundamental selektif ini,
maka tidak wajar sekiranya pendidikan tinggi turut diberikan percuma kerana ia
melibatkan cukai daripada duit rakyat berbanding pelaburan yang dibuat oleh
pihak kerajaan ke atas pendidikan primer dan sekunder.
Namun begitu, pihak kerajaan tetap berusaha meringankan beban
rakyat yang melanjutkan pelajaran ke peringkat tertiari ini melalui pelbagai
insentif lain. Misalnya, kerajaan pusat menanggung antara 85% hingga 95% kos
yuran pengajian bagi setiap pelajar di universiti awam manakala bakinya
ditanggung oleh pelajar sendiri melalui pinjaman pendidikan tinggi, biasiswa
dan bantuan-bantuan lain.
Sebagai contoh, kos keseluruhan bagi setahun pengajian untuk
kursus perubatan di UiTM ialah RM47, 278. Yuran asas yang perlu dibayar oleh
pelajar pula hanyalah RM400 sahaja manakala bakinya ditampung oleh pihak
kerajaan sendiri.
Walaupun kos yuran pengajian berbeza di setiap universiti,
namun secara relatif kos yang ditampung oleh pihak kerajaan berada pada kadar
yang sama iaitu antara 85% hingga 95% daripada kos sebenar.
Hal ini sudah cukup untuk membuktikan sistem pendidikan
negara kita berada pada landasan yang cukup baik, bersifat sejahtera dan
kondusif ke arah melahirkan lebih ramai graduan dari universiti tempatan.
Muktahir ini juga kita dapat lihat iltizam pihak kerajaan membantu para penuntut
di institusi pengajian tinggi melalui
pemberian Baucar Buku 1Malaysia (BR1M), Kad Diskaun Siswa 1Malaysia, diskaun
kemudahan pengangkutan dan pelbagai bentuk bantuan lagi yang kesemuanya
bertujuan meringankan beban para pelajar kita.
Kronologi Isu
Pendidikan Percuma di Malaysia
Isu pendidikan percuma kembali timbul selepas Pakatan Rakyat
memasukkannya dalam manifesto mereka bagi menghadapi PRU-13.
Sebelum itu, isu ini telah dibawa oleh sebuah gerakan
mahasiswa pro-Pakatan Rakyat dikenali sebagai Sekretariat Malaysia Bangkit yang
dipimpin oleh bekas mahasiswa Universiti Malaya, Saudara Syahid Zaini. Agenda
pendidikan percuma ini merupakan salah satu daripada sembilan tuntutan gerakan
ini yang kemudiannya menjadi polemik panjang dalam kalangan rakyat dan ahli
politik di Malaysia.
Kemuncak tuntutan ini ialah Demonstrasi Menuntut Pemansuhan
PTPTN anjuran Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP) dengan kerjasama
Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang ketika itu dipimpin oleh penuntut KUIS,
Saudara Ahmad Syukri Razab, dan Sekretariat Malaysia Bangkit sendiri.
Demonstrasi ini berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur
pada 14 April 2012. Hampir 1000 orang peserta terdiri daripada mahasiswa dan
orang ramai telah berarak di sekitar Kuala Lumpur dan Dataran Merdeka disusuli
pelancaran kempen Occupy Dataran yang berkhemah di Dataran Merdeka selama dua
minggu diketuai aktivis mahasiswa haluan kiri, Fahmi Reza.
Polemik pendidikan percuma ini turut melibatkan pemimpin politik
negara. Selepas demonstrasi liar tersebut, beberapa pihak daripada parti
politik mula membincangkan hal ini dengan lebih serius. Satu debat terbuka juga
turut dianjurkan oleh Kumpulan Karangkraf melibatkan Ketua Pergerakan Pemuda
Barisan Nasional, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengarah Strategik PKR, Saudara
Rafizi Ramli.
Pakatan Rakyat kemudiannya telah memasukkan idea pendidikan
percuma ini sebagai salah satu manifesto mereka bagi menghadapi Pilihanraya
Umum ke-13.
Betulkah Finland
Menawarkan Pendidikan Percuma?
Ya, memang Finland menyediakan pendidikan percuma di semua
peringkat. Tetapi ia tidak datng dengan mudah.
Finland dengan enrolmen pelajar setinggi 169,000 orang telah
menawarkan pengajian tinggi percuma TETAPI di Malaysia dengan enrolmen pelajar
IPTA seramai 508,256 orang mampu memberikan subsidi yuran pengajian tinggi
sehingga 95%.
Finland juga dengan kadar cukai maksimum 53% telah menawarkan
pengajian tinggi percuma TETAPI di Malaysia dengan kadar cukai maksimum 26%
mampu memberikan subsidi yuran pengajian tinggi sehingga 95%.
Dalam erti kata lain, di Finland, pendidikan percuma dibiayai
oleh dana awam sepenuhnya melalui kadar cukai yang tinggi tetapi di Malaysia
dengan kadar cukai separuh daripada apa yang dikenakan oleh Finland mampu
memberikan subsidi yuran sehingga 95% kepada lebih 500,000 orang pelajar IPTA
dalam setahun.
Malaysia juga membelanjakan lebih RM20 bilion setahun untuk
subsidi bahan api dan keperluan harian rakyat seperti gula, tepung, minyak
masak dan lain-lain.
Bagaimana Pula Dengan
Turki?
Dakwaan pembangkang kononnya Turki menyediakan pendidikan
tinggi percuma adalah suatu fitnah yang nyata.
Turki sebenarnya mengenakan yuran pengajian tinggi baik di
peringkat tertiari mahupun pasca siswazah dan amalannya sama seperti di negara
kita. Kadar yuran di Turki boleh dirujuk dalam jadual di bawah:
 |
Kos Yuran Mengikut Kursus di Tukri. |
Turki hanya menawarkan pendidikan percuma di peringkat rendah
dan menengah dari gred 1 hingga 12 dan Malaysia juga menawarkan pendidikan
percuma di peringkat rendah dan menengah dari darjah 1 hingga tingkatan 6 atas.
Di Turki, sebahagian besar pelajar menerima pinjaman
pendidikan menerusi Higher Education Credit and Dormitories Institution yang
ditubuhkan pada 1961. Kadar faedah yang dikenakan ialah berdasarkan Indeks
Harga Pengguna (CPI) yang mengikut kadar inflasi semasa.
Justeru dengan pencerahan ini, adalah diharapkan semua pihak
terutamanya para mahasiswa tidak lekas terpengaruh dengan godaan pendidikan
percuma tersebut.
Kita sebenarnya sudah berpeluang menikmati pendidikan
percuma. Majoriti daripada kita sekarang ialah penerima pinjaman PTPTN yang
kini boleh ditukarkan kepada biasiswa penuh sekiranya kita mendapat keputusan
yang cemerlang. Inilah pelaburannya. Jika kita berusaha lebih, kita akan
mendapat keuntungan lebih. Jika sebaliknya, kita masih boleh mendapat
keuntungan iaitu dengan mendapatkan pekerjaan yang lebih baik dengan ijazah
yang kita miliki selepas bergelar graduan.
Jadilah kaum yang bersyukur dan berusaha untuk membaiki
kehidupan sendiri.
5. Pada SB, idea yang dibawa oleh Pakatan Rakyat untuk melaksanakan Pendidikan Percuma ini hanyalah mitos dalam imaginasi mereka sendiri. Ia tidak pernah wujud di negara ini, dan mustahil akan berlaku dalam dekad ini.