Agak menarik apabila penyokong-penyokong Pakatan Rakyat cuba menggunakan hujah baru selepas mereka gagal memanipulasi minda orang ramai dengan isu-isu seperti pengundi hantu, IC, dakwat kekal dan blackout.
Kali ini, mereka guna pula modal jumlah undian yang diakui, memang memihak kepada Pakatan Rakyat secara keseluruhan. Atas dasar tersebut, mereka mendakwa Pakatan Rakyat lebih layak membentuk kerajaan kerana lebih popular berbanding Barisan Nasional.
Ironinya, mereka tidak nyatakan bahawa sistem pilihan raya di Malaysia tidak sama seperti di Indonesia atau Amerika Syarikat. Kita di sini memilih parti untuk memerintah, bukan memilih individu untuk diangkat menjadi Perdana Menteri seperti Pilhan Raya Presiden Amerika Syarikat.
Dalam sistem kita, undi popular bukanlah perkara yang diutamakan. Kita hanya memilih wakil rakyat yang bertanding mewakili parti-parti tertentu, manakala ketua kepada parti-parti ini yang akan dipilih secara tidak langsung menjadi Perdana Menteri selepas diperkenankan oleh Yang DiPertuan Agong.
Ketua kepada parti-parti tersebut yang dilantik menjadi Perdana Menteri pula tidak semestinya mendapat undi yang popular bagi mengesahkan kelayakan beliau selaku Perdana Menteri Malaysia.
Apa-apa pun, keputusan sudah diperolehi. Rakyat sudah memilih parti mana yang layak membentuk kerajaan sekaligus memilih Perdana Menteri yang menjadi harapan dan impian rakyat Malaysia.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
No comments:
Post a Comment