Anwar Bin Ibrahim |
Semalam, Anwar Ibrahim menyeru kepada golongan peminjam supaya tidak membuat bayaran kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Anwar menyatakan demikian kepada orang ramai dalam satu ceramah di kawasan parlimennya, Permatang Pauh sambil diiringi laungan takbir dari penyokong Pas.
Anwar juga berjanji, Pakatan Rakyat akan memansuhkan PTPTN dalam tempoh setahun sekiranya pilihan raya diadakan pada tahun ini dan jika Pakatan berjaya menawan Putrajaya.
Skim PTPTN akan digantikan dengan pendidikan percuma dari peringkat sekolah rendah sehingga pengajian tinggi, untuk semua rakyat Malaysia, kata Anwar lagi.
Beliau juga mengulangi tawaran Pakatan untuk mengurangkan harga minyak dalam tempoh sehari selepas Pakatan Rakyat membentuk kerajaan.
Sumber SINI.
Ini Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang yang bercita-cita besar mahu jadi Perdana Menteri Malaysia. Kerana nafsunya itu, Anwar sanggup berjanji apa-apa sahaja.
Kalau di peringkat kampus, kita juga berhadapan dengan segelintir pemimpin mahasiswa yang mempunyai persamaan seperti Anwar. Apa persamaannya? Persamaan mereka adalah dalam menabur janji-janji yang manis dan indah-indah.
Kumpulan mahasiswa ini dahulunya dikenali sebagai pejuang-pejuang idealis sehingga digelar sebagai grup Idealis Mahasiswa. Asas perjuangan mereka ini diserap daripada semangat sosialisme yang berakar umbi jauh hingga ke dalam fahaman komunisme. Ia kompleks untuk diterangkan dalam ruang singkat sebegini.
Kumpulan ini selalunya tampil dengan idea-idea yang sangat memukau. Kebebasan akademik, autonomi mahasiswa, kuasa mahasiswa dan bermacam lagi slogan yang gempak-gempak. Kerana itulah juga mereka digelar Idealis, kerana idea-idea mereka yang bersifat amat ideal (cantik, sempurna dan tiada cacat celanya).
Namun, relevankah perjuangan sebegini? Kebebasan yang menjadi akar dalam setiap tuntutan mereka kadang-kala bersifat amat mutlak, tanpa ada batasan-batasan lagi.
Untuk mencapai matlamat tersebut pula, mereka akan mencipta pelbagai slogan yang boleh menggegarkan hati dan jiwa kita sehingga mengaburi kuasa akal untuk berfikir secara rasional.
Misalnya, pernah sebelum ini kumpulan mahasiswa tertentu membuat tuntutan supaya mereka diberikan hak untuk mengurus sendiri pilihan raya kampus, mengambil bahagian dalam Majlis Senat Universiti atau Lembaga Pengarah dan menentukan kewangan universiti.
Kemudian, kita dengar pula muktahir ini, mereka menuntut supaya pendidikan tinggi diberikan percuma, yuran pengajian dihapuskan dan mereka bebas untuk berpolitik di dalam kampus. Sewenang-wenangnya. Untuk apa semua ini? Supaya akademik jadi nombor dua dan supaya mahasiswa boleh bertindak seperti orang politik di luar sana? Hanya kerana anda mahasiswa?
Malangnya, suara-suara beginilah yang akhir-akhir ini begitu lantang kedengaran di sana sini. Anwar Ibrahim tidak kisah dengan implikasi-implikasi yang akan berlaku kerana beliau hanya fikirkan undi daripada rakyat. Tetapi bagaimana dengan mahasiswa yang hanya mempunyai tiga hingga lima tahun sahaja di kampus?
Adakah Anwar akan pastikan setiap daripada kita nanti boleh hidup dengan lebih baik sekiranya dasar-dasar, atau lebih tepat, janji-janji manisnya itu dilaksanakan? Jika kamu jadi PM, adakah hidup kami akan jadi lebih baik wahai Anwar bin Ibrahim?
Kita tidak tahu. Kita hanya terpesona dengan kata-katanya yang memukau dan diulit dengan janji-janjinya yang amat manis, tapi kita tidak tahu langsung adakah Anwar mampu melakukan setiap yang diperkatakannya.
Mari SB ajak anda semua renungkan beberapa perkara. Kampung Buah Pala, Janji 16 September, dan segala macam manifesto lain yang diperkenalkan di negeri-negeri yang dikuasai oleh pembangkang ketika ini, apa cerita dengan semua itu?
Tak perlu banyak-banyak, cukup saja kalau anda tanyakan kembali, apa jadi dengan Janji 16 September Anwar Ibrahim?
No comments:
Post a Comment