*Entri ini tidak disertakan gambar kerana memberi fokus kepada isi kandungan yang ingin disampaikan.
SB suka merujuk pelbagai kes yang sering berlaku di Universiti Malaya dalam setiap siri pilihan raya kampus. Ini kerana, apa-apa saja yang berlaku di universiti tertua negara ini akan mencorakkan iklim dan suasana pilihan raya kampus keseluruhannya.
Tumpuan media arus perdana juga lebih terarah kepada universiti ini berbanding IPTA lain justeru memberikan kayu ukur secara tidak langsung tentang perjalanan pilihan raya kampus pada sesi tersebut.
Kenapa Universiti Malaya?
Bagi yang tidak tahu, universiti ini merupakan pusat bagi gerakan mahasiswa pro-pembangkang atau lebih dikenali sebagai Pro-M di Malaysia. Di sinilah lahirnya pemimpin-pemimpin gerakan ini yang berperanan di peringkat nasional sekali gus menentukan hala tuju perjuangan Pro-M keseluruhannya.
Saban tahun Pro-M akan tampil dengan tuntutan atau manifesto yang khas dan pada kebiasaannya, ia akan menjadi agenda bersama bagi kesemua gerakan Pro-M di IPTA lain dalam mereka menghadapi pilihan raya kampus.
(Jadi tak perlulah hairan kalau di tempat anda, tiba-tiba saja wakil Pro-M mengemukakan manifesto yang langsung tidak ada kaitan dengan keperluan universiti anda. Misalnya, Pro-M USM pernah membawa manifesto mansuh sistem e-voting sedangkan USM tidak pernah menggunakan sistem tersebut!)
Di sini membuktikan, kepimpinan Pro-M Nasional yang berakar umbi di Universiti Malaya sebenarnya mengutamakan kemenangan di universiti tersebut hingga memaksa rakan-rakan di IPT lain memperjuangkan agenda yang senada dengan mereka.
Kenapa jadi begitu? Ia mudah. Kalkulasinya, seperti yang pernah dihujahkan oleh Syazni Munir, bekas YDP Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya, menang di Universiti Malaya bermakna menang di kesemua kampus. Ini kerana, Universiti Malaya ialah IPT tertua dan paling disegani (berpengaruh) di negara ini.
Walaupun ia hanya persepsi, tetapi sifat fundamental premis Syazni Munir ini ada benarnya. Justeru Pro-M sentiasa memastikan Universiti Malaya akan kekal menjadi IPT wajib menang setiap kali pilihan raya kampus berlangsung, at all costs.
Trenda Pilihan Raya
Untuk menang, Pro-M memerlukan lebih dari sekadar kempen biasa. Di Universiti Malaya, sama ada kamu lakukan sehabis mungkin, atau hilang ‘deposit’ sebelum pengiraan undi bermula lagi.
Bagi memastikan kemenangan ini, strategis mereka sentiasa berfikir di ‘luar kotak’ – sesuatu yang tidak mampu dilakukan oleh jentera penggerak (bukannya tiada kemampuan, tetapi tidak sampai hati/tidak mampu – teruskan membaca).
Kenapa SB katakan begitu? Mari kita lihat perkembangan dua tiga tahun ke belakang. Apa yang berlaku ini sebenarnya amat menarik dan menakutkan sekali gus. Sebelum itu, siapkan kesimpulan ini dalam minda anda – Untuk Menang, Apa Pun Boleh Dilakukan!
Kepala Babi
Anda pernah baca atau dengar atau lihat sendiri insiden kepala babi dalam surau Akademik Pengajian Islam (API), Universiti Malaya?
Insiden ini sangat menggemparkan negara kita. SB tidak perlu berkonspirasi dengan teori-teori yang telah lama dibincangkan, tetapi yang akan kekal dalam minda kita ialah persoalan ini, bagaimana insiden ini boleh berlaku?
Dalam insiden ini, dua kepala babi yang masih berdarah diletakkan di atas bendera rasmi PAS di dalam surau API sementara dinding surau berkenaan turut diconteng. Berdasarkan penelitian yang dibuat, ia memerlukan masa yang lama dan tenaga yang ramai untuk melakukan propaganda tahap tinggi sebegini. Tetapi yang lebih menarik ialah, lokasi kejadian itu sendiri.
Surau API yang menjadi ‘lokasi’ kedurjanaan politik kampus ini sebenarnya ialah kubu atau markas utama Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) Universiti Malaya yang juga teras Pro-M di universiti ini. Semua orang tahu, surau berkenaan boleh dikatakan hampir 24 jam beroperasi lebih-lebih lagi ketika kempen pilihan raya kampus sedang berlangsung.
Justeru bagaimana ia boleh berlaku? Abaikan dahulu persoalan siapa yang melakukannya kerana SB akan kemukakan kemudian. Tetapi sebagai orang Islam dan warga yang waras, kita tentu sukar menerima insiden ini. Sangat melampau dan mendukacitakan hati nurani.
Calon Ghaib
Dua tahun kemudian, sekali lagi Universiti Malaya mencatatkan insiden di luar kotak pemikiran umum. Kali ini ia melibatkan ‘kehilangan’ salah seorang calon wanita dari kem Pro-M yang berlaku sehari sebelum pembuangan undi dijalankan.
Calon ini, Masturah Abu Bakar, dilaporkan hilang selepas keluar berkempen bersama rakan-rakannya. Tetapi ibunya berkeras mendakwa Masturah telah diculik. Lalu timbul pelbagai spekulasi liar dan ketika umum mula mencari siapa penculik tersebut, Pro-M sedang mengaut laba simpati yang tidak sedikit.
Seluruh negara tertumpu pada kes ini. Pertama, ia aneh. Kedua, kerana calon ini ialah anak pemimpin atasan PAS di Selangor! (ibunya ialah pemimpin Dewan Muslimah PAS Selangor dan turut berada dalam kepimpinan Majlis Bandaraya Shah Alam).
Justeru anda boleh bayangkan kegemparan yang dicetuskan daripada kes ini. Si ibu tidak putus-putus mengadakan sidang akhbar. Wartawan dijemput dan kenyataan yang pelbagai-bagai dikeluarkan. Nampaknya, mereka lebih sukakan publisiti berbanding mencari orang hilang!
Akibat kes ini, akhirnya, Masturah menang undi popular.
Sekarang anda nampak perkaitannya? Belum nampak? Baik, sila ambil maklum bahawa Masturah telah kembali ke alam nyata selepas ghaib (atau dibebaskan jika benar dia diculik) sehari selepas keputusan undian diumumkan. Dalam keadaan lesu dan blur, Masturah diraikan bagai wirawati srikandi Pro-M Universiti Malaya!
Konspirasi Aspirasi?
Kedua-dua insiden kepala babi dan calon ghaib ini – dua contoh daripada sekian banyak insiden pelik dan aneh yang pernah berlaku di Universiti Malaya – secara tidak langsung telah menjadikan Kumpulan Penggerak (dahulunya dikenali sebagai Aspirasi) di universiti berkenaan sebagai mangsa.
Dalam insiden kepala babi misalnya, ia dilakukan ketika tempoh berkempen sudah tamat iaitu pada awal pagi beberapa jam sebelum proses pembuangan undi dijalankan.
Dalam jangka masa yang amat singkat ini, ia tidak memberikan ruang yang secukupnya kepada Penggerak untuk menepis dakwaan bahawa Pro-M disabotaj atau dikhianati. Walaupun tiada dakwaan secara khusus dibuat, namun oleh kerana insiden ini berlaku ke atas Pro-M, maka cakap-cakap atau tuduhan secara tidak langsung tetap akan menjurus kepada Penggerak Mahasiswa.
Dalam sekelip mata sahaja, kumpulan Penggerak dicop sebagai bermain politik kotor dan dalam sekelip mata sahaja, reputasi baik Penggerak musnah. Akhirnya, hasil pengundian selepas dikira, menghadiahkan kemenangan mudah kepada Pro-M.
Tetapi adakah benar ia konspirasi Aspirasi atau Penggerak untuk mensabotaj Pro-M? Kalau benar, apa untungnya? Dua soalan ini penting. Pertama, jika ia benar, maka jelaslah strategi Penggerak sangat bodoh. Kedua, jika ia tidak benar, maka siapa yang begitu kotor hatinya hingga tergamak melakukan operasi hitam sebegitu?
(Dalam hati SB, siapa lagi kalau bukan ‘mereka’ yang mempunyai akses mudah untuk keluar masuk surau API tersebut!)
Sementara dalam insiden calon ghaib pula, ia turut memalitkan kesan hitam ke atas Penggerak. Sebaik calon tersebut dilaporkan hilang/ghaib/diculik, seluruh mata tertumpu kepada kem Penggerak seolah-olah ia dilakukan oleh kumpulan ini.
Paling melucukan, antara alasan yang diberikan, Penggerak gentar dengan kewibawaan calon tersebut hingga terpaksa menculik bagi memastikan beliau tidak layak bertanding.
Adakah ini jenaka atau serius yang bodoh? Insiden ini berlaku selepas penamaan, justeru mana mungkin calon ini hilang kelayakan semudah itu? Jika benar seperti yang dituduh, maka memang Penggerak Universiti Malaya ada masalah yang besarlah.
Jadi siapa yang buat?
Berdasarkan analisa yang dibuat, kesemua insiden ini menjerumuskan kita kepada satu kesimpulan. Di Universiti Malaya, perancangan isu yang berfungsi sebagai ‘bom’ ke atas lawan diatur berdasarkan sifat alih pandang.
Dalam insiden-insiden ini misalnya, Pro-M menggunakan pelbagai isu kecil lain seperti e-voting, kebajikan, dan sebagainya sepanjang tempoh berkempen tetapi apabila tiba hari kemuncak, mereka mengalihkan keseluruhan tumpuan warga kampus dan orang ramai kepada isu yang lebih besar yang dicipta secara tiba-tiba.
Ibarat sekumpulan peniaga yang susah hati melihat draft keuntungan mereka kian menurun, lalu mereka cipta satu produk yang boom, pasarkan dan akhirnya, ia melonjakkan semula keuntungan syarikat mereka itu. Begitulah strategi yang digunakan oleh Pro-M di Universiti Malaya.
Kebijakan yang dilakukan oleh mereka ternyata berhasil hingga menyebabkan kumpulan lawan tidak mampu bertindak segera atau melancarkan counter attack. Ia dummy strategi yang sangat berkesan di mana mereka telah menyerang musuh tanpa menyentuhnya (memaksa khalayak/pengundi membenci musuh/Penggerak).
Apa selepas ini?
Apa yang akan berlaku dalam pilihan raya kampus kali ini?
Sejujurnya, SB sendiri sukar meramalkan apakah yang akan berlaku dalam kempen PRK di Universiti Malaya pada tahun ini. Melihat kepada trenda lalu, Pro-M UM dijangka akan menggunakan strategi baru yang lebih ‘bersantun’ bagi mengelakkan prasangka umum kepada mereka menjadi lebih besar.
Tetapi ini hanya andaian. Apa pun boleh berlaku kerana Pro-M UM mempunyai kekuatan sumber dan tenaga yang tidak terbatas termasuk menerima sokongan langsung daripada parti-parti pooolitik pembangkang di luar sana.
Mereka mempunyai sumber dana yang tidak terhad dan bantuan sokongan untuk melakukan kerja-kerja black ops juga sentiasa tersedia pada bila-bila masa. Justeru mungkin insiden-insiden luar jangka akan berlaku lagi. Siapa tahu kali ini mereka akan culik Naib Canselor pula, atau ‘menawan’ bangunan HEPA!
Apa-apa pun, inilah Universiti Malaya. Di sinilah tempatnya Pro-M dapat bergerak bebas dan merancang aktiviti mereka sewenang-wenangnya. Markas dan bilik mesyuarat mereka ada di salah sebuah bilik seminar di Akademik Pengajian Islam (API). Jemputlah datang, kerana banyak kejutan dirancang di sini.
Selamat berkempen!
Nota
* Kes kepala babi ini khabarnya masih dalam siasatan. Belum ada keputusan muktamad diumumkan hingga kini. Adakah ini juga usaha menutup kebenaran?
** Masturah ketika ini ialah isteri kepada bekas Pengerusi Pro-M Nasional, Safwan Anang yang juga aktivis Pro-M UM. Safwan Anang pernah terlibat dalam pelbagai demonstrasi dan rusuhan liar termasuk memanjat pagar kampus UPSI ketika demonstrasi malam Tahun Baru 2012 yang lalu. Selain itu, Safwan Anang turut menyertai Demonstrasi Anti PTPTN pada 14 April 2012 di Dataran Merdeka dan Rusuhan BERSIH 28 April 2012 yang menyaksikan Safwan Anang dikenakan hukuman gantung pengajian oleh pihak universiti. Ketika ini, Safwan Anang berkhidmat untuk PKR sementara menjalani tempoh penggantungannya.
Berdasarkan cerita yang disampaikan oleh anggota keluarga terdekatnya, perkahwinan Safwan dan Masturah tidak begitu direstui oleh ibu bapa Safwan Anang kerana perbezaan ideology politik. Menurut sumber tersebut, dalam keluarga mereka, hanya ibu bapa Safwan Anang sahaja menyokong UMNO sementara sanak saudara yang lain ialah penyokong PAS termasuk Safwan Anang sendiri. Masturah sendiri masih dikawal oleh ibunya.
1 comment:
hang tak usah sibuk hal um pun.u lain pro asipirasi lawan sorang sorang kat uni lain terutama uitm...mcm bangang...
Post a Comment