Khalid Ismath, aktivis sosialis
yang juga pelajar UiTM Kampus Shah Alam dikesan semakin berani membawa masuk unsur-unsur
sosialisme ke dalam kampus tersebut melalui penubuhan Kelab Sosialis UiTM.
Ketika ini kelab haram tersebut
giat melancarkan kempen boikot pilihan raya kampus (PRK) UiTM yang dijangka
akan diadakan pada 28hb November ini atas pelbagai alasan kabur dan penuh
muslihat.
Khalid Ismath yang sedang
menjalani tempoh penggantungan atas tiga kesalahan disiplin pernah mengumumkan
penubuhan kelab tersebut melalui laman sosial twitter beliau baru-baru ini. Ia secara
tidak langsung telah mendedahkan kesungguhan kumpulan sosialis untuk menawan kampus-kampus
UiTM yang sememangnya dipenuhi mahasiswa Melayu beragama Islam.
Berdasarkan rekod, UiTM merupakan
antara sebahagian kecil IPTA yang masih belum dicerobohi oleh mana-mana
kumpulan mahasiswa propembangkang yang dikenali sebagai Pro-M. Pun begitu,
kampus Shah Alam pernah menyaksikan kemunculan sebuah kelab haram yang juga
ditubuhkan oleh Khalid Ismath dikenali sebagai Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI).
Kumpulan ini bagaimanapun tidak tertumpu di kampus UiTM semata-mata seperti
Kelab Sosialis UiTM yang baru ditubuhkan sebaik sahaja Khalid Ismath melepaskan
jawatannya dalam KAMI sekitar bulan Ogos yang lepas.
Kelab Sosialis UiTM dipercayai
menjadi senjata halus bagi para aktivis sosialis yang bernaung di bawah Parti
Sosialis Malaysia (PSM) termasuk Khalid Ismath sendiri untuk menyerang institusi pengajian terbesar orang Melayu itu. Tujuannya tidak lain
hanyalah untuk meracuni pemikiran anak-anak Melayu yang rapuh jati diri supaya
menentang pihak pemerintah. Walaupun mereka tahu UiTM ditubuhkan bagi membantu
memajukan golongan Melayu yang berpendapatan rendah dan sederhana, tetapi bagi
kumpulan ini, suasana ini perlu dirobah supaya anak-anak muda Melayu beralih
menyokong mereka sekaligus mempercepatkan usaha menawan Putrajaya dalam PRU
ke-14 kelak. Sentimen UiTM sebagai milik orang Melayu pada mereka perlu
dihapuskan kerana prinsip perjuangan sosialis ialah kesamarataan, iaitu
memberikan hak yang sama rata kepada semua kaum dan individu.
Tidakkah mereka ini berfikir,
sekiranya UiTM dibuka kepada semua kaum, di manakah lagi orang Melayu dari
kelompok berpendapatan rendah dan sederhana boleh melanjutkan pelajaran dengan
kos yang murah? Adakah orang Melayu dari kelompok ini akan diberikan hak dan
peluang yang sama untuk memasuki pusat-pusat pengajian berprestij seperti
UNITAR dan sebagainya yang dipenuhi anak-anak orang kaya?
Ketika ini Kelab Sosialis UiTM
dan Khalid Ismath sendiri sedar betapa pengaruh yang mereka ada amat kecil. Atas
sebab itulah mereka melancarkan kempen boikot PRK kerana tidak mampu bertanding
melalui saluran yang disediakan. Namun dalam jangka panjang, SB percaya gerakan
yang dibina oleh Khalid Ismath pasti akan meninggalkan impak terhadap lanskap
politik di UiTM seandainya tidak dibendung dari awal.
No comments:
Post a Comment