Mitos Harga Kereta Murah (Bahagian 1)
Bayangkan anda memandu Masereti buatan Itali, BMW buatan Jerman
atau Honda buatan Jepun dengan ‘keperlahanan’ tidak sampai 10km sejam di pusat
bandar seperti latar sesak padat di Jakarta, Bangkok atau Manila. Ini adalah realiti
dalam Manifesto Rakyat dan Buku Jingga Pakatan Rakyat (PR) yang menawarkan
pemansuhan cukai eksais kereta pada kadar 70peratus ke atas sehingga harga
kereta menjadi serendah RM25,000, penghapusan tol lebuh raya serta penurunan
harga minyak petrol dan diesel.
Ya, anda boleh memiliki kereta
idaman dengan harga murah tetapi terpaksa berbelanja lebih dengan membuang
lebih masa untuk sampai ke destinasi dalam kesesakan trafik. Ini bukanlah
tujuan kereta idaman dibuat, “berkelajuan seperti ribut tetapi pergerakan
seperti semut”.
Dalam 24 jam sehari, empat jam paling kritikal ialah julat masa
antara 7 hingga 9 pagi dan 5 hingga 7 petang bagi mereka yang berulang-alik
dari kediaman ke tempat kerja. Jika seorang graduan yang mula bekerja seawal
usia 23 tahun menghabiskan masa tiga jam sehari berulang alik ke tempat kerja,
apabila bersara pada usia 55 tahun, dia menghabiskan 14,145 jam atau 235 hari
seumur hidupnya dijalan raya!
“Harga kereta di Malaysia berbanding pendapatan purata isi rumah
rakyatnya boleh disifatkan antara tertinggi di dunia. Ketiadaan kemudahan
pengangkutan awam yang berkesan menyebabkan rakyat tidak ada pilihan lain
kecuali membeli kereta persendirian,” justifikasi Manifesto Rakyat bagi
merombak dasar automatif sememangnya mempunyai asas dan logik.
Ironisnya Malaysia mempunyai pemilikan kenderaan tertinggi
selepas Amerika Syarikat! Dengan 28 juta rakyat, kita mempunyai 11 juta kereta.
Jika diperinci dengan kira-kira 4 juta keluarga maka setiap isi rumah mempunyai
lebih daripada dua buah kereta!
Hutang pembiayaan kereta adalah hutang kedua tertinggi di
Malaysia, mencecah RM134.2 bilion setakat Mei 2012. Malah rekod Jabatan
Insolvensi bagi tahun 2005 hingga April 2012 menunjukkan bahawa hutang sewa
beli kenderaan menjadi penyebab utama kebangkarapan dengan 25 peratus iaitu
29,338 daripada 116,379 kes.
Justeru, adakah dengan gimik populis pemansuhan cukai eksais
semata-mata akan menyelesaikan masalah ini? Hakikatnya pemberian kereta percuma
sekalipun tidak akan menyelesaikan masalah kos sara hidup dan kesesakan jalan
raya. Sememangnya kadar cukai eksais yang tinggi pada kadar 70 peratus ke atas
perlu disemak semula untuk meliberalisasikan industri automatif negara tetapi
bukan dengan menghapuskan sepenuhnya. Perlu juga disemak semula kadar faedah pinjaman
lebih 35 peratus yang dikenakan oleh pihak bank.
Kajian Jabatan Perangkaan Malaysia bagi perbelajaan isi rumah
pada 2009/2010 mendapati perbelanjaan pengangkutan menjadi prioriti ketiga
sebanyak 13.1 peratus berbanding makanan 21.8 peratus serta perumahan dan
utiliti sebanyak 21.8 peratus. Tahun 1957, perbelanjaan pengangkutan hanya
melibatkan 3.7 peratus perbelanjaan isi rumah dan menjadi prioriti ketujuh
daripada sembilan indikator.
Dari segi peningkatan perbelanjaan, kos pengangkutan naik ketara
iaitu 94.6 peratus selepas perumahan dan utiliti sebanyak 102 peratus
berbanding makanan hanya 60.9 peratus. Perbelanjaan pengangkutan ini meliputi
perbelanjaan membeli kenderaan baru, petrol, pembelian alat ganti dan
selenggara kenderaan, cukai jalan, insuran dan tambang pengangkutan awam.
Ini bermakna kos pengangkutan persendirian bukan sekadar harga
pembelian sebuah kereta semata-mata tetapi termasuk kos-kos selepas sokongan
pengangkutan. Oleh itu, sudut tumpuan utama bukanlah mengurangkan kos pemilikan
kereta secara individu tetapi mengurangkan kos sara hidup untuk pengangkutan
melalui fasiliti dan aksesibiliti pengangkutan awam yang efektif dan
efisien. PR sepatutnya belajar daripada kegagalan dan tidak mengulangi
kesilapan tumpuan untuk memperkasakan pengangkutan awam oleh kerajaan BN
sebelum 2009.
Namun tiga preskripsi yang dicadangkan berasaskan diagnosis awal
tersebut lebih banyak menunjukkan falasi iaitu salah faham tentang masalah
sebenar dan hubung kait antara sebuah kereta, seliter minyak, sebatang jalan
raya dan kesesakan lalu lintas.
Ini adalah satu polisi dualisme yang menjadikan dasar automatif
dan dasar pengangkutan awam saling bertentang haluan dan tidak bergerak
sehaluan. Sasar masa pendek yang tidak selari iaitu pemansuhan tol lebuh raya dan
penurunan harga minyak secara serta merta dan pemansuhan cukai eksais secara
berperingkat selama lima tahun; tetapi dalam masa yang lama meletakkan sasar
masa panjang selama 10 tahun untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas.
Rakyat mengalu-alukan penyelesaian primier bukan sekunder atau
tertier baik dari PR atau BN. Manifesto Rakyat dan Buku Jingga PR sepatutnya
beradu dengan politik idea iaitu menyaingi Program Transformasi Kerajaan BN
dengan Transit Aliran Massa (MRT), Terminal Pengangkutan Bersepadu dan Terminal
Transit Antara Bandar serta bas percuma GoKL dan tempat letak kenderaan RM3
Park & Ride.
PR sepatutnya memberikan jawapan lebih baik daripada BN.
Pemansuhan cukai eksais kereta, penurunan harga minyak petrol dan diesel serta
penghapusan tol lebuh raya hanya jawapan sementara yang kemudiannya akan
menimbulkan persoalan baru pada masa depan. Apa yang lebih penting ialah
‘membiasakan yang betul dan membetulkan yang biasa’ dengan menjadikan
pengangkutan awam dan bukan kenderaan persendirian sebagai keperluan asas!
Jalan bertambah, kenderaan berlambak
Masa hadapan penduduk bandar yang
dijangka mencecah 10 juta pada 2020 akan memberikan tekanan terhadap rangkaian
jalan raya yang akan mengakibatkan kesesakan yang lebih teruk. Di Amerika
Syarikat dasar lebih awal diperkenal pada 1970 melalui Institut Jurutera
Lalulintas yang mendefinasikan bidang kejuruteraan lalu lintas sebagai, “Suatu
bahagian kejuruteraan yang terlibat dengan perancangan, reka bentuk geometri
dan operasi lalu lintas bagi jalan raya dengan lebuh raya, rangkaian jalan
raya, terminal pengangkutan, tanah-tanah yang bersempadan dengan jalan raya,
hubungan dengan mod-mod pengangkutan yang lain untuk pencapaian dari segi
keselamatan, kecekapan dan kemudahan pergerakan bagi orang perseorangan dan
barangan.”
Makna sebatang jalan raya berbeza bagi penduduk luar bandar
sebagai satu keperluan berbanding di bandar yang menjadi satu kehendak. Seperti
jalan raya seawal transisi urbanisasi negara, jalan raya lengang dengan
kapasiti kenderaan yang terhad. Jalan raya kekal sebagai satu keperluan kepada
35 peratus penduduk luar bandar yang hampir lapan peratus daripadanya masih
belum dihubungi dengan jalan berturap atau jalan kerikil.
Pembinaan jalan raya di luar bandar sepanjang 3,349.6 km pada
2010-2012 menurut laporan NKRA Infrastruktur Asas Luar Bandar (RBI)
menjadikannya lebih panjang dari keluasan semenanjung Malaysia atau bersamaan
tiga kali ganda jarak Lebuh Raya Utara–Selatan dari Kedah ke Johor. Dengan
hampir 66.5 peratus bajet RBI diperuntukkan bagi Malaysia Timur, masih terdapat
17.3 peratus penduduk luar bandar di Sabah dan 11.3 peratus lagi di
Sarawak tidak mendapat kemudahan jalan raya.
Seperti jalan raya sekarang yang panjang dan bersimpang siur,
begitulah sejarah pembinaaan jalan raya pertama seawal 1860 oleh Orang Besar
Jajahan Hilir Perak, Tengku Menteri Ngah Ibrahim dengan menggunakan kayu balak
yang diikat rotan bagi laluan bijih timah dari lombong di Kamunting ke jeti
Teluk Kertang (kini Kuala Sepetang, Perak). Kemasukan British telah membawa
kemajuan jalan raya yang lebih baik untuk tujuan ekploitasi sumber alam negara.
Seiring dengan pembangunan infrastruktur dan perbandaran negara
sejak merdeka, hari ini negara boleh berbangga dengan rangkaian jalan raya
meliputi jalan persekutuan dan jalan negeri sepanjang 123,007.8 km pada 2009.
Ianya adalah pengingkatan lebih 1,000 kali ganda daripada rekod jalan raya
sepanjang 10,406.10 km pada zaman pra kemerdekaan 1955.
Pertambahan jalan raya ini membawa kepada permintaan tinggi
terhadap kenderaan darat bermotor. Menurut rekod Jabatan Pengangkutan Jalan
(JPJ) Malaysia, sehingga 2011 sebanyak 21.4 juta kenderaan menggunakan jalan
raya seluruh negara. Kenderaan persendirian memonopoli jalan raya dengan 49
peratus iaitu 594,610 kereta dan 45 peratus iaitu 542,308 motosikal telah
didaftarkan pada 2011 dan keseluruhannya motosikal menjadi raja jalan raya
dengan 9.9 juta atau 47 peratus dan kereta sebanyak 9.7 juta atau 45 peratus.
Peningkatan ini seiring dengan jumlah pemandu baru seramai 527,198 yang
dilesenkan pada 2011 menjadikan jumlah terkumpul pemandu seramai 12,763,452
orang!
1 comment:
Menambah baik pengangkutan awam yang amat murah lagi bagus.
Post a Comment