Tripoli: Ledakan bom kereta menyasarkan kedutaan Perancis di ibu negara Libya, semalam, mencederakan dua pengawal dan seorang remaja, serangan pertama sejak misi diplomatik Amerika Syarikat (AS) diserang di Benghazi, tahun lalu.
Bahan letupan dalam kereta itu diletupkan di luar bangunan kedutaanm di kawasan mewah al-Andalus awal pagi sebelum kakitangan tiba, kata pegawai keselamatan.
Insiden sebabkan kebakaran
Letupan kuat itu mencederakan dua pengawal Perancis dan menyebabkan kebakaran di pintu masuk yang sampai ke dalam pejabat. Seorang remaja perempuan Libya yang tinggal di rumah berdekatan turut cedera.
Dua kereta di luar kedutaan juga terbakar dan beberapa bangunan berdekatan juga rosak. Anggota bomba segera berkejar ke tempat kejadian dengan pegawai berkata, motif serangan belum jelas.
Dua tahun selepas perang saudara meletus, Libya kini menghadapi masalah mengawal keselamatan, mendapati sukar membentuk tentera yang bersatu selain mengawal militia termasuk pemberontak yang menggulingkan Muammar Gaddafi pada 2011.
Perancis dan Britain memimpin kempen serangan udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang membawa kepada kejatuhan Gaddafi.
Malangnya, selepas itu, perang di Libya menyebabkan banyak senjata tertinggal di negara itu.
Seorang pakar memberitahu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bulan ini, bahawa Libya adalah sumber senjata penting di Afrika Utara sejak dua tahun lalu.
Pejuang Mali ceroboh
Pegawai Perancis bimbang kemungkinan ketidakstabilan Libya menjadi semakin teruk kerana mereka percaya ada pejuang dari Mali masuk ke negara itu selepas tenteranya campur tangan bagi mengusir militan al-Qaeda di sana.
Selain itu, kekacauan berterusan berlaku di Libya selepas Gaddafi tiada dan diplomat, agensi bantuan serta gereja turut diserang manakala berpuluh-puluh pegawai keselamatan Libya dibunuh.
Dalam kebanyakan kes, kerajaan gagal menahan pihak bertanggungjawab atau membuat tangkapan sama ada kerana bimbang serangan balas atau kurang upaya melakukan siasatan.
AP
No comments:
Post a Comment