KUALA LUMPUR - Rakyat diingat untuk lebih berhati-hati dengan gelombang ‘ombak’ yang dibawakan DAP kerana disifatkan sebagai berbahaya, dakwa Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata, DAP menggunakan medan ceramah mereka sebagai tempat untuk memburukkan kerajaan sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati kebanyakan rakyat.
“DAP mengguna taktik ceramah dengan membariskan penceramah yang cakap berapi-api seperti mengutarakan janji-janji dan kritikan terhadap kerajaan yang boleh menarik minat orang untuk dengar.
“DAP menggunakan psikologi ini untuk tarik penyokong, sehingga membangkitkan rasa tidak senang terhadap apa yang dilakukan kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Bilik Gerakan MCA Bandar Tun Razak.
Tambah beliau, kesan daripada gelombang ombak yang dibawa DAP itu mampu memberi impak negatif di kemudian hari.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai jumlah penonton yang ramai menghadiri ceramah-ceramah pembangkang.
Beliau berkata, pihaknya sudah mengetahui rahsia pergerakan parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu dan akan membongkarnya satu persatu.
“Kita berdepan dengan rakyat berbekalkan statistik dan fakta, oleh itu kita akan bongkar rahsia mereka yang ternyata hanya omong kosong,” katanya.
Tiong Lai yang juga calon BN Parlimen Bentong, Pahang mendakwa, pemimpin DAP hanya gah di pentas ceramah tetapi tidak berani turun kepada rakyat.
“Mereka tidak berani untuk berkempen rumah ke rumah, hanya berani berkempen melalui ceramah.
“Sebab apa, nanti rakyat minta baiki longkang, suri rumah mohon bantuan mereka tidak dapat bantu,” dakwanya lagi.
Tiong Lai mengingatkan rakyat untuk bertindak bijak dalam membuat pilihan mereka pada pilihan raya umum ke-13.
Beliau turut memuji usaha calon BN BTR, Tan Kok Eng yang begitu agresif dalam mendekati rakyat di sini.
“Kita lihat sokongan meningkat dari hari ke hari. Sebagai calon muda Kok Eng dilihat begitu dinamik dan bersungguh-sungguh memenangi hati rakyat.
“BTR mempunyai infrastruktur yang baik dan rakyat di sini memerlukan wakil rakyat yang mampu membawa suara mereka ke hadapan,” katanya.
Dipetik daripada Sinar Harian
No comments:
Post a Comment