Penubuhan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS)
Sebentar tadi negara menyaksikan satu lagi sejarah terpahat. Lebih 10000 orang menghadiri Majlis Pelancaran Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) dan Amanat Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak.
Bertempat di UiTM Shah Alam sebagai lokasi acara, yayasan ini bakal menjadi pusat bagi aktiviti kesukarelawanan peringkat nasional yang melibatkan kumpulan mahasiswa di Malaysia.
Menurut Menteri Pengajan Tinggi, Dato Seri Khaled Nordin dalam ucapan alu-aluannya, yayasan ini juga akan memainkan peranan penting ke arah menjernih dan menyiapkan kerangka gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Najib.
Lebih penting, menurut beliau, melalui penglibatan selaku duta universiti dan agen perubahan, siswa siswi yang akan menyahut cabaran ini kelak juga akan menyumbang kepada pembangunan agama, bangsa dan masyarakat keseluruhannya.
Dalam ucap tama kemudiannya, Dato Seri Najib yang kelihatan bersemangat sepanjang acara secara berseloroh menyatakan keterujaannya melihat sokongan yang diberikan oleh mahasiswa yang datang dari seluruh pelosok negara.
Sokongan ini amat penting sejajar dengan hasrat kerajaan untuk merobah lanskap masyarakat Malaysia ke arah mencapai sasaran negara berpendapatan tinggi.
Menurut beliau, yayasan seumpamanya ini dapat membentuk personaliti yang lebih unggul dalam kalangan intelek muda terutamanya dalam melengkapkan mereka dengan nilai-nilai kemanusiaan sejagat dan kualiti kecaknaan yang tulen.
Perdana Menteri turut mengajak hadirin supaya berfikir dan bertanya tentang rupa bentuk negara yang diinginkan oleh golongan mahasiswa pada hari ini. Kerajaan katanya lagi, pada hari ini komited ke arah memenuhi keperluan golongan siswa khususnya lepasan siswazah dengan menyediakan peluang-peluang pekerjaan yang lebih banyak dari semasa ke semasa.
Tambahnya, melalui program Pelan Transformasi Ekonomi yang diperkenalkan oleh kerajaan hari ini, lebih 3.3 juta peluang pekerjaan dijangka akan diwujudkan menjelang tahun 2020 sekaligus memberikan manfaat yang besar kepada rakyat Malaysia khususnya para siswazah.
Dato Seri juga menegaskan bahawa setiap program atau aktiviti yang dijalankan oleh kerajaan hari ini memerlukan masa yang secukupnya untuk mencetuskan hasil yang diinginkan. Ia tidak boleh dilihat dalam sehari dua, ataupun sebulan dua. Apa yang penting ialah kerajaan dapat menguruskan negara dengan baik dan mempunyai perancangan jangka panjang yang betul.
MAHASISWA MALAYSIA BERSATU CINTAKAN KEAMANAN
No comments:
Post a Comment