Kelmarin, kumpulan mahasiswa pro-pembangkang mengumumkan ROMBAKAN pucuk pimpinan tertinggi mereka dalam Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) di mana pengerusinya bertukar servis dari Syukri Razab kepada Safwan Anang.
Rombakan itu dilihat mengejutkan banyak pihak. Sebelum ini SMM secara tradisi diketuai oleh ketua atau presiden daripada Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) yang dipilih daripada universiti-universiti senior terutamanya dari Universiti Malaya.
Sebagai contoh, dua tahun sebelum ini, Pengerusi SMM masih dikuasai oleh wakil daripada PMI iaitu Yang DiPertua PMI UM, si Shazni Munir.
Namun, perjalanan Shazni di UM terkandas dan beliau beralih ke KUIS sebelum melepaskan jawatan selaku Pengerusi SMM kepada anak buahnya sendiri iaitu Syukri Razab.
Antara mereka berdua pula ada persamaannya. Kedua-duanya terkandas di peringkat sarjana muda di universiti asal masing-masing. Seperti Shazni, Syukri juga mengalami nasib yang sama sebelum berhijrah ke KUIS.
Percaturan politik dalam SMM menjadi pelik selepas Syukri diangkat sebagai Pengerusi yang baru. Ini kerana beliau tidak melalui proses tradisi sebaliknya diangkat melalui permainan strategi pihak tertentu di belakang KUIS.
Pihak berkenaan mempunyai kuasa yang cukup besar dan pengaruh yang cukup hebat bukan sahaja dalam menyusun atur pergerakan SMM, bahkan berkuasa penuh dalam mengatur perjalanan politik parti-parti pembangkang di Malaysia.
Melalui Syukri, SMM mula berperanan lebih aktif malah diberikan tanggungjawab untuk mencetuskan pelbagai isu terutamanya yang berimpak besar seperti insiden membabitkan kumpulan Adam Adli.
SMM juga telah diprojekkan sebagai sebuah organisasi yang berperanan menarik sokongan mahasiswa kepada pembangkang.
Dalam usaha membebaskan pemimpin agung mereka daripada pertuduhan liwat tempoh hari, kumpulan SMM bahkan diberikan amanah mencetuskan Revolusi Bunga Raya atau Revolusi 901 khas untuk membebaskan pemimpin tersebut.
Syukri Razab pada tahap ini dilihat amat berjaya kerana mampu menggerakkan segala perancangan yang diatur dengan baik sehingga menimbulkan ketegangan dalam kalangan rakyat negara ini.
Namun begitu, tindak-tanduk SMM sebenarnya amat tidak disenangi oleh kumpulan mahasiswa yang pro kepada sebuah lagi parti dalam Pakatan Pembangkang. SMM dilihat terlalu liberal dan begitu mendukung ideologi sosialis sehingga mencetuskan pertembungan prinsip dengan kumpulan pro-Islamis.
Insiden di KUIN umpamanya telah mendapat reaksi yang amat keras daripada segelintir pemimpin pemuda dalam parti tersebut hingga mereka bertindak mengeluarkan amaran kepada penuntut-penuntut KUIN supaya menjauhi demonstrasi yang cuba dianjurkan oleh SMM.
Perkembangan ini juga turut mengheret kepimpinan dari level yang lebih tinggi termasuk dalam kalangan moderator yang dilantik untuk mengawal pergerakan kumpulan masing-masing di setiap zon.
Kumpulan yang pro kepada parti cap bulan ini berusaha keras untuk memastikan saf tertinggi kepimpinan SMM dikembalikan kepada kumpulan mereka bagi memulihkan imej SMM yang tercalar teruk akibat permainan politik pihak-pihak tertentu itu.
Safwan Anang, selaku mantan Yang DiPertua PMI UM kemudiannya diangkat sebagai Pengerusi SMM yang baru sekaligus mengembalikan SMM ke pangkuan Gamis.
Pun begitu, pengaruh kumpulan liberal ternyata masih kuat dalam saf pimpinan SMM yang baru ini. Hal ini dapat dilihat apabila Adam Adli dilantik sebagai bendahari yang baru. Kenapa Adam Adli?
Pemilihan Adam Adli juga mempunyai cerita yang lebih menarik terutamanya kemampuannya dalam mengepam dana daripada taiko-taiko atasan.
SB akan kongsikan cerita-cerita ini dalam posting berikutnya, insya-Allah. Apa yang ingin SB tegaskan di sini ialah, krisis dan konflik dalam kumpulan mahasiswa pro-pembangkang ketika ini masih serius seperti yang berlaku di UIAM dan UPM tempoh hari.
Pelbagai maklumat bocor dengan mudah, malah ramai bekas orang kuat dan kepercayaan mereka sendiri telah meninggalkan perjuangan mereka bersama mahasiswa pro-pembangkang.
Selain itu kredibiliti SMM untuk mendokong perjuangan mahasiswa semakin hari semakin diragui bukan sahaja pada kemampuannya sebagai sebuah solidariti, tetapi juga pada diri para penggeraknya yang rata-rata bermasalah dalam pengajian masing-masing seperti Syukri, Syazni dan Adam Adli sendiri.
Jadi bagaimana mahasiswa boleh bergantung kepada kumpulan sebegini kalau nasib dan masa depan mereka sendiri terumbang-ambing?
No comments:
Post a Comment