Percayalah, anda tidak akan menemui babak meludah ke dalam pinggan nasi dalam filem Bunohan seperti yang kedapatan dalam Adnan Sempit 2.
Anda jugak tidak akan menemui babak tersasul hingga salah sebut kalimah dua syahadah dalam Bunohan seperti yang kedapatan dalam Hantu Bonceng.
Tapi anda pasti menemui seorang sutradara yang meradang bila filemnya dibandingkan dengan Bunohan, semuanya kerana tahap kecerdikan yang umpama langit dan bumi, antara filem ini dengan hasil karya beliau.
Jadi jika berkira-kira mahu masuk panggung menonton Bunohan, pastikan anda menyediakan sedikit ruang fikir yang kosong untuk diisi dan sedikit kerajinan untuk melakukan perbandingan mudah. Terpulanglah pada aspek apa pun, perbandingan anda harus ada.
Pertama, ini karya yang cerdik. Ramai yang meletakkan filem ini sebagai karya berat, tetapi SB meletakkannya lebih tinggi sedikit, iaitu karya ilmiah menghampiri masterpiece.
Ia umpama satu set dokumen, sebuah kebudayaan yang bergerak di hadapan mata, tentang satu sisi lain orang Melayu di satu tempat yang realitinya, wujud dan ada, di Kelantan. Selepas filem Juara/Jogho dan Budak Kelantan, tak rajin barangkali sutradara kita mahu angkat seni budaya orang Kelantan secara serius kerana bimbang akan prospek keberuntungannya. Tapi di tangan Dain, dialek bukan masalah.
Kedua, ia adalah naskah filsuf. Anda tidak akan menemui pembicaraan dengan nada serius antara anak dan ayah yang berisi soalan provokasi bijak seolah-olah bicara seorang daie dan seorang lelaki yang baru hadir rasa ingin bertuhannya dalam mana-mana karya komersial MIG. Tapi dalam Bunohan, anda menemuinya.
Sebidang tanah menjadi punca, tetapi ketamakan adalah ruhnya yang mengheret manusia-manusia di Bunohan berkonlfik. Yang biasa kita temukan ialah konflik cinta bodoh dan perkelahian keluarga, tetapi dalam Bunohan, anda belajar seni politik dalam konflik. Tak perlu ayat kasar tengking menengking, tak perlu maki hamun herdik mengherdik, tetapi seorang anak masih mampu melawan ayahnya dengan bijaksana namun terkutuk sekali.
Ketiga, ini pasti, anda akan keluar panggung dengan satu perasaan yang lain. Ironisnya, anda telah disajikan dengan sebuah cerita dengan narrator yang mencari siapa dirinya, tapi hakikat di akhir ialah, si narrator itu bukanlah pemenang mutlak.
Ini ialah naskah tentang kebijaksanaan mengadun sifat tamak dan kebijaksanaan, maka akhirnya yang bijak itulah pemenang walau sehebat mana narrator atau wiranya menentang. Yang kekal menang ialah yang paling bijak mengatur permainan politiknya. Ini realiti.
SB fikir, sutradara yang meradang itu berhak untuk meradang. Tahniah Dain. Tahniah krew. Tahniah para pelakon. Tahniah Bunohan kerana membuka dimensi baru perfileman negara.
No comments:
Post a Comment