GASAK Bakal Jadi Platform Kesukarelawanan Mahasiswa Malaysia
Bertempat di UiTM Shah Alam semalam, usai majlis pelancaran Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) dan Amanat Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Abdul Razak, sekumpulan mahasiswa turut melancarkan sebuah NGO baru yang dinamakan sebagai GASAK atau Gabungan Siswa Kebangsaan.
Pertubuhan baru ini merupakan hasil cetusan idea mereka yang terdiri daripada penuntut-penuntut beberapa buah universiti dan menyasarkan untuk mengumpul keahlian dari seluruh mahasiswa di Malaysia.
Satu sidang media juga turut diadakan bagi menjelaskan matlamat dan hala tuju pertubuhan tersebut yang antara lain bertujuan membantu pihak kerajaan menjayakan Wawasan 2020 yang semakin hampir dengan rakyat Malaysia.
Menurut jurucakap GASAK, Marwan Kahar, agenda yang akan dibawa oleh mereka lebih menjurus kepada usaha menjernih dan memperbetulkan sesetengah persepsi yang salah terhadap isu-isu di peringkat nasional menggunakan pendekatan berhadapan secara langsung dengan masyarakat.
Ketika ini, GASAK menurutnya lagi akan membantu pihak kerajaan menangani isu-isu yang kurang diberikan perhatian tetapi penting seperti masalah gelandangan, budaya lumba haram, sentimen perkauman di peringkat akar umbi dan sebagainya.
Pada sidang media itu juga Marwan turut menafikan pertubuhan itu bertujuan menyaingi mana-mana organisasi sedia ada, sebaliknya berharap kehadiran mereka diterima dengan baik oleh kelompok mahasiswa di seluruh negara sebagai salah satu teras dalam agenda kesukarelawan nasional.
Para penggerak Gabungan Siswa Kebangsaan (GASAK) |
No comments:
Post a Comment