Alkisah PTPTN dan SMM |
Media hari ini melaporkan program penyerahan Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) yang sedang dilaksanakan secara berperingkat |SINI| oleh kerajaan Barisan Nasional di seluruh negara. Di setiap lokasi, tak kurang 200 orang penerima yang terdiri daripada bakal mahasiswa dan mahasiswi menerima waran masing-masing sambil diiringi ibu bapa dan penjaga.
Berita ini tentunya menyakitkan hati kumpulan pelajar yang menggelarkan diri mereka sebagai Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang dipimpin oleh anak-anak buah Anwar Ibrahim melalui kelab Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).
Tentu kita masih ingat, pada 14 April 2012, sekumpulan mahasiswa yang hilang akal dan tatasusila mengusung potret Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak dan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Seri Khaled bin Nordin dan mengalungkan bunga malai (bunga kematian mengikut adat Hindu) pada potret mereka berdua di Dataran Merdeka |SINI|. Siapa lagi mereka itu kalau bukan SMM.
Apa yang mereka jangkakan ketika itu ialah gelombang penolakan rakyat terhadap PTPTN akan menjadi besar dan merebak ke seluruh negara. Melalui kempen Malaysia Bangkit, ia (seruan menolak PTPTN) digerakkan secara berkala sambil dibantu oleh Pakatan Rakyat dengan harapan rakyat membenci kerajaan Barisan Nasional terutamanya Perdana Menteri Dato' Seri Najib.
PTPTN digambarkan sebagai jerung yang akan menelan sesiapa saja yang terperangkap. Pinjaman yang disediakan tanpa faedah (sebaliknya ujrah atau upah memproses yang dibenarkan syarak) disifatkan sebagai menggalakkan golongan muda berhutang sebaik sahaja menamatkan pengajian mereka.
Tapi adakah SMM sedar, melalui PTPTN itu jugalah rakyat mampu mengubah destini keluarga masing-masing? Melalui pinjaman mudah itu jugalah sudah ramai yang berjaya dan hidup dalam persekitaran yang lebih baik berbanding sebelumnya.
SMM barangkali tidak melihat isu ini dari sudut pandang pihak kerajaan yang menyediakannya (PTPTN) tetapi terburu-buru mempercayai dakyah pembangkang. Di Malaysia, pembangkang sebenarnya tidak suka kebaikan dan kebajikan yang disediakan oleh kerajaan kepada rakyat kerana ia dianggap sebagai bala kepada mereka. Maka tidak hairanlah kumpulan mahasiswa seperti SMM ini menjadi buta dan angkuh kerana didoktrin sedemikian rupa oleh pemimpin-pemimpin pembangkang kita.
Celiklah mata itu. Lihatlah kebenaran yang terhidang di depan mata. Jangan angkuh. Jangan sombong. Jangan taksub membuta tuli. PTPTN mengubah destini kita ke arah yang lebih baik, bukan menjadikan hidup kita lebih sengsara!
No comments:
Post a Comment