Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz bin Tunku Ibrahim. |
Selepas YB Datuk Zulkifli Nordin dari PKR dan YB Dato’ Dr. Hassan Ali dari PAS, kini DAP pula mengambil tindakan ke atas ahli yang mengkritik pendirian parti tersebut. Kali ini mangsanya ialah Naib Pengerusi parti sendiri iaitu Tunku Abdul Aziz bin Tunku Ibrahim.
Berdasarkan rekod, Tunku Abdul Aziz menyertai DAP pada bulan Ogos 2008 dan mula berkongsi idea dan nilai-nilai perjuangan yang dibawanya selama ini terutamanya anti rasuah dan penyelewengan bersama parti tersebut.
Dalam masa yang singkat sahaja, Tunku Abdul Aziz diangkat menyertai barisan pemimpin tertinggi DAP sebagai Naib Pengerusi . Ketika itu, DAP melihat Tunku Abdul Aziz sebagai figure yang boleh menarik sokongan Melayu terhadap parti tersebut yang selama ini didominasi oleh kaum Cina dan India.
Baru-baru ini Tunku Abdul Aziz mendaki satu anak tangga lagi apabila dilantik sebagai Senator di Dewan Negara mewakili Kerajaan DAP Pulau Pinang. Untuk seketika, Tunku Abdul Aziz berjaya memainkan peranan yang diberikan dengan baik sesuai dengan latar belakang dan pencapaiannya yang pernah berkhidmat dengan pelbagai agensi luar Negara termasuk di PBB sebagai penasihat kanan bekas Setiausaha Agung, Kofi Annan pada tahun 2006 dan 2007.
Malangnya, suara Tunku Abdul Aziz tidak selalunya senada dengan pimpinan DAP yang lain. Kritikan terbuka dan pernyataan peribadi beliau yang tidak menyokong demonstrasi BERSIH 3.0 pada 28 April 2012 lalu telah memakan diri apabila DAP tidak lagi menyambung kontraknya selaku Senator, sekaligus membuktikan kepalsuan amalan kebebasan bersuara di dalam parti tersebut.
Tunku Abdul Aziz hanya menyatakan pendirian beliau yang tidak bersetuju dengan BERSIH 3.0 tetapi ia telah disalah anggap sebagai tidak menyokong keputusan partinya yang turut serta dalam demonstrasi tersebut sejak edisi pertama lagi.
Tindakan ini seharusnya menjadi pengajaran kepada kita semua. Sebagai mahasiswa, kita seharusnya sedar bahawa kebebasan bersuara tidak pernah dipraktikkan di dalam mana-mana parti di Malaysia. Sebaliknya, setiap ahli parti sentiasa terikat dengan perundangan dalaman, malah lebih ketat berbanding AUKU.
Jika Zulkifli Nordin dipecat kerana mengkritik penggunaan kalimah Allah dalam kalangan orang bukan Islam, Hassan Ali pula dipecat kerana lantang memerangi masalah murtad, penyelewengan akidah dan arak di Selangor, maka adakah DAP lebih baik daripada PAS dan PKR? Hakikanya, kesalahan Tunku Abdul Aziz adalah amat kecil, iaitu mengeluarkan satu pandangan peribadi sebagai ahli politik senior dan banyak pengalaman.
Justeru bagaimana pula jika anak muda seperti kita yang baru berjinak-jinak dengan politik ini hendak bersuara, apatah lagi menegur parti demi kebaikan masa depan?
No comments:
Post a Comment