RAFIZI RAMLY VS KHAIRY JAMALUDDIN |
Ketika menjawab hujah yang dibentangkan oleh Ketua Pergerakan Pemuda Barisan Nasional, YB Khairy Jamaluddin dalam debat Pemansuhan PTPTN dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi Nasional sebentar tadi, Rafizi Ramli yakin bahawa Pakatan Rakyat mampu menyediakan pendidikan tinggi percuma tanpa perlu menaikkan cukai ke atas rakyat negara ini.
Menurut Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, ia boleh dilakukan sekiranya kerajaan yang memerintah tidak menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap usaha pembangunan fizikal sebaliknya memberi lebih fokus kepada sektor pendidikan tinggi awam.
Dengan hujah-hujahnya ini, apakah yang boleh kita simpulkan?
Pakatan Rakyat berjanji akan masukkan segera RM500 dalam akaun setiap guru jika mereka dapat memerintah kelak.
Pakatan Rakyat juga berjanji akan turunkan harga minyak dan bahan api sebaik-baik sahaja membentuk kerajaan. Malam ini bentuk kerajaan, esok pagi dijanjikan turun 50 sen.
Semua tol juga akan dihapuskan. Cukai-cukai domestik yang lain turut akan dihapuskan. Harga barangan juga kononnya tidak akan berlaku kenaikan lagi jika Pakatan Rakyat memerintah.
Pendidikan tinggi akan diberikan percuma kepada rakyat Malaysia. Apa lagi? Terlalu banyak sebenarnya yang dijanjikan. Kata Khairy Jamaluddin tadi, ia ibarat janji bulan dan bintang. Penuh dengan harapan, tapi adakah ia realistik?
Cakap sebagai seorang pembangkang memang mudah. Pembangkang di Malaysia tidak mempunyai sejarah 54 tahun yang lalu. Mereka tidak memiliki rekod pencapaian seperti yang dipegang oleh Barisan Nasional. Sebab itu mereka boleh bercakap itu ini kerana mereka tidak melalui perjalanan sebenar yang dilalui oleh Barisan Nasional dalam membangunkan negara ini. Atau lebih tepat, mereka tidak merasai susah payah membangunkan sebuah negara majmuk seperti Malaysia.
Jika mereka jadi kerajaan nanti, situasinya samalah seperti sebuah keluarga miskin diserahkan kunci rumah banglo yang sudah tersedia serba serbi di dalamnya. Mereka hanya masuk dan menggunakan segala barangan yang tersedia itu. Mereka tidak pernah merasai susah payah empunya rumah yang asal untuk membina rumah tersebut dan menyediakan segala kelengkapan yang ada di dalamnya.
Sebagai rakyat, adakah kita boleh mempercayai golongan pemimpin sebegini? Tepuk dada tanya iman. Ironinya, banyak pemimpin bijak bercakap tetapi bila buat kerja, mereka tak ubah seperti tikus membaiki labu!
No comments:
Post a Comment